Siakap Keli

Anak Tak Sah Taraf: JPN Selaras Nama Ayah

KOTA BHARU, 20 Feb – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang melakukan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara dan semua mufti negeri bagi mengkaji dan menyelaraskan penggunaan ‘bin dan binti’ bagi proses pendaftaran anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata pada masa sekarang pihaknya memutuskan terdapat dua pilihan bagi pendaftaran anak tidak sah taraf iaitu berbin atau berbintikan Abdullah atau menggunakan nama Asmaul Husna (letak Abdul di hadapan nama).

“Perbincangan ini nanti akan melihat mekanisme yang lebih sesuai dalam proses pendaftaran anak tidak sah taraf supaya tidak berlaku pertembungan.

“Kita tahu kebanyakan negeri mempunyai peraturan dan enakmen masing-masing, yang kita turut menjalin hubungan dengan jabatan agama negeri bagi mencari penyelesaian dari segi dasar selain melihat penambahbaikan atau peraturan baharu dikeluarkan.

“Setakat ini, perbincangan sudah bermula di peringkat KDN terlebih dahulu dan kami akan keluarkan satu arahan baharu dengan dasar sedia ada dalam masa terdekat. Di peringkat JPN, kami sedang melihat kesesuaian dengan keputusan mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada lapan beranak di Kampung Demit Sungai, Kubang Kerian di sini, yang turut dihadiri Pengarah JPN Kelantan Asrehan Ab Razak.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata pihaknya akur dengan keputusan mahkamah baru-baru ini membabitkan kes di Johor yang memutuskan penggunaan bin Abdullah.

“Dalam konteks ini secara teknikal nama anak akan jadi ‘satu’ sahaja (tanpa bin atau binti). Setakat ini, kita belum membuat tindakan selagi tidak menerima alasan penghakiman namun kes berkenaan hanya berlaku di Johor sahaja,” katanya.

Sementara itu, Che Noor Ariffin, 60, dan isterinya, Karimah Mamat, 44, menyatakan rasa syukur apabila lapan daripada 16 anaknya yang berusia antara enam hingga 21 tahun menerima kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Che Noor berkata beliau bukan tidak berusaha untuk mendaftarkan kelahiran kesemua anaknya namun disebabkan terlalu banyak prosedur selain perlu menyediakan pelbagai dokumen menyebabkan beliau terpaksa membiarkan lapan anaknya membesar tanpa dokumen pengenalan diri.

“Berikutan masalah itu, anak saya tidak mampu pergi sekolah sedangkan ada pula sebahagian anak saya tidak mempunyai masalah ketika proses pendaftaran kelahiran apabila mereka mempunyai kad pengenalan dan surat beranak.

“Kami bersyukur kerana mendapat perhatian dan usaha ini memudahkan kami memohon bantuan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang