Siakap Keli
Gambar : Google

Saintis Tolak Teori Konspirasi Berkaitan Virus Covid-19

London : Pakar kesihatan dari banyak negara menolak dakwaan kononnya COVID-19 tidak mempunyai punca semula jadi dan menyelar teori konspirasi berkaitan virus itu, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami saintis kesihatan awam telah mengikuti perkembangan penyakit COVID-19 dan prihatin mengenai kesannya terhadap kesihatan dan kesejahteraan dunia,” kata 27 pakar dari seluruh dunia dalam satu kenyataan disiarkan pada Rabu oleh The Lancet, jurnal perubatan umum.

Mengulas mengenai “usaha luar biasa” saintis dan profesional kesihatan China dalam mengenal pasti patogen, mengurangkan kesan dan berkongsi maklumat, mereka mengakui “kepesatan perkongsian data mengenai wabak itu, kini diancam khabar angin dan maklumat salah mengenai asal usulnya.”

Patogen bermaksud mikroorganisma yang menyebabkan penyakit, terutamanya mikroorganisma hidup, sebagai contoh, bakteria atau kulat.

Ahli sains dari pelbagai negara sudah menerbitkan dan menganalisis genetik ejen penyebab dan rata-rata menyimpulkan COVID-19 berasal dari haiwan liar, begitu juga dengan banyak lagi patogen lain yang baharu muncul,” menurut kenyataan itu.

“Ia turut disokong menerusi surat oleh presiden Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Amerika Syarikat dan komuniti saintifik yang mereka wakili,” tambah kenyataan itu.

“Kami mengutuk teori konspirasi yang mengatakan COVID-19 tidak mempunyai punca semula jadi dan menegaskan teori itu hanya akan mencetuskan ketakutan, khabar angin dan prasangka yang boleh menjejaskan kerjasama dalam memerangi virus tersebut.”

Ahli sains itu juga menyuarakan sokongan terhadap seruan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus untuk mempromosikan bukti saintifik dan bersatu menentang maklumat palsu dan andaian salah.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.