Siakap Keli

Aktiviti Sukan Dan Rekreasi Jana Ekonomi Negara RM4 Bilion Pada 2018

TANJUNG MALIM, 20 Feb  — Aktiviti sukan dan rekreasi luar di Malaysia bukan sahaja mengisi masa lapang atau sebagai riadah mengeluarkan peluh, tetapi ia sebenarnya mampu menjana ekonomi negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Md Amin Md Taff berkata ini dibuktikan apabila aktiviti rekreasi sama ada di darat, air dan udara menjana ekonomi negara sekurang-kurangnya RM4 bilion pada 2018.

Beliau berkata selain itu, aktiviti tersebut juga dapat dapat mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM1.2 bilion bagi pembayaran gaji.

“Jika dahulu, kita melakukan aktiviti rekreasi dan beriadah secara sukarela atau hanya suka-suka namun hari ini telah menjadi bidang pekerjaan serta industri dan menjadi satu daripada katalis pembangunan negara dan trend ini adalah selari di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘2020: Realiti dan Cabaran Rekreasi Luar di Malaysia’ pada Majlis Syarahan Profesor yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini, hari ini.

Md Amin berkata masyarakat daripada pelbagai peringkat umur gemar melakukan aktiviti lasak seperti luncur udara, belon udara panas, aktiviti larian dan kayuhan serta aktiviti sukan air yang mempunyai pelbagai cabaran tersendiri.

“Di samping itu, bidang rekreasi juga menjadi satu kerjaya untuk menjana pendapatan seperti pemandu pelancong alam semula jadi serta jurulatih rekreasi. Industri 4.0 juga telah banyak membantu industri rekreasi yang ramai menjalankan perniagaan dalam talian menjual pelbagai barangan berkaitan rekreasi.

“Oleh itu, aktiviti rekreasi luar adalah industri yang sedang berkembang pesat di Malaysia kerana ia mendorong ke arah kesejahteraan hidup dan pihak akademia, industri, agensi dan kerajaan harus membina satu ukhuwah, pakatan kerjasama yang erat agar bidang rekreasi ini dapat kita cemerlangkan di negara ini,” katanya.

Majlis Syarahan Profesor memberikan penghormatan kepada profesor universiti untuk menyampaikan syarahan kepada warga fakulti dan tetamu-tetamu universiti mengenai penyelidikan dan hasil kerja dalam bidang kepakaran individu berkenaan.

Kandungan syarahan umum pelantikan profesor adalah melibatkan perkongsian pemikiran dan wacana ilmu dalam mengetengahkan isu terhadap senario tertentu, pembentangan kajian dan mengilhamkan idea serta praktis untuk kepentingan umum berdasarkan kewibawaan kepakaran.

UPSI melaksanakan program ini untuk menyerlahkan dan memartabatkan karya ilmiah yang dihasilkan oleh para penyelidik fakulti serta mengaplikasikan kepakaran hasil kerja tersebut terhadap sumbangan kepada masyarakat.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.