Siakap Keli

Peguam Syarie Jelaskan Hutang Si Mati Perlu Dilangsaikan Sebelum Harta Difaraidkan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pelbagai kisah berkenaan dengan pembahagian harta terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini. Ianya bagaikan seolah-olah telah menjadi fitrah manusia bila bercakap soal duit dan harta, semua menjadi gelap mata serta tidak boleh berfikir secara waras.

Masih ramai lagi yang tidak faham dengan cara, hak serta pembahagian harta yang ditinggalkan simati secara betul. Justeru daripada itu, timbul pergaduhan diantara ahli keluarga.

Seorang peguam syarie bernama Fahmi Ramli ini berkata, sebelum harta simati dibahagikan, harta itu perlu digunakan terlebih dahulu untuk menjelaskan segala hutang piutang simati.

Beliau ada menjelaskan tentang pembahagian harta serta perkara berkenaan harta sepencarian. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Bila seseorang itu meninggal dunia, perkara pertama yang perlu dibuat sebelum dibahagikan harta yang ditinggalkan simati adalah Menjelaskan Semua Hutang Simati.

Perkara ini termasuklah dengan Harta Sepencarian simati dengan isterinya. Harta sepencarian mesti diselesaikan dahulu sebelum menunaikan wasiat simati kalau ada. Selepas semua itu selesai, barulah perlu difikirkan tentang faraid.

Apa itu Harta Sepencarian?

Gambar: Google

Harta yang dimiliki oleh suami atau isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Ada 3 jenis harta yang boleh dituntut sebagai harta sepencarian iaitu Harta Alih, Harta Tak Alih dan Harta Intelek.

Siapa yang boleh tuntut Harta Sepencarian?

Isteri boleh tuntut harta suaminya, suami juga boleh tuntut harta isterinya. Bergantung pada syarat tertentu mengikut undang-undang.

Apa keadaan yang boleh tuntut?

Kalau suami meninggal dunia, isteri berhak untuk menuntut harta yang dimiliki dalam tempoh kahwin dengan menamakan ahli-ahli waris lain sebagai pihak lawan.

Kalau suami berpoligami, juga melayakkan isteri untuk menuntut harta sepencariannya.

Kalau suami dan isteri bercerai, maka harta sepencarian juga boleh dituntut pada selepas cerai tersebut.

Mengapa Harta Sepencarian perlu selesai dahulu?

Harta tersebut mesti diselesaikan di Mahkamah Tinggi Syariah dahulu sebelum faraid kerana disitu ada terletak hak kepada isteri dan sebagai pelindung kepada nasib isteri dan anak dibawah jagaan isteri jika kematian suami khasnya.

Isu ini akan lebih teruk kalau simati meninggalkan anak perempuan sahaja atau anak yang masih kecil dan tak mampu nak uruskan apa-apa. Sebab itu, harta sepencarian ini boleh jadi pelindung hak yang patut diterima oleh bekas isteri khasnya.

Adakah terdapat apa-apa halangan kalau nak tuntut Harta Sepencarian bagi seorang isteri?

Gambar: Google

Tidak ada selagimana harta tersebut dimiliki dalam tempoh perkahwinan tersebut dan tidak ada isteri-isteri yang lain nak claim harta yang sama. Apa yang perlu dibuktikan adalah sumbangan isteri tersebut untuk pemilikan harta tersebut.

Kalau harta masih dalam hutang, boleh ke?

Gambar: Google

Boleh tuntut dan selalunya Mahkamah akan perintahkan untuk harta tersebut dijual dan dibahagikan mengikut kadar sepencarian yang diputuskan oleh Mahkamah.

Secara professionalnya, saya melihat, kes harta tinggalan simati pada waris-warisnya perlu diselesaikan dengan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu.

Pada saya, tak ada masalah bagi balu simati untuk buat urusan tersebut di Mahkamah demi hak dan memelihara nasib anak yang ditinggalkan. Mesti ada penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan. Apa yang saya nampak, yang terbaik adalah, selesaikan dahulu harta sepencarian sebelum berbincang tentang faraid.

Harta Sepencarian adalah hak isteri yang tak boleh disangkal.

Sumber: Fahmi Ramli

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa