ALOR SETAR, 23 Feb (Bernama) — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim sedang mengesan waris kepada seorang bayi lelaki berusia 32 hari, yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen berkaitan kelahiran serta maklumat ibu bapa kandungnya di Junjung, Kulim.
Pegawai JKM Daerah Kulim Manab Mehat berkata bayi dikenali sebagai Muhammad Fateh Hakimi Abdullah itu dikatakan ditinggalkan ibu bapa kandungnya kepada sepasang suami isteri di alamat No. 7, Jalan Pusat Komersial, Junjung pada 24 Jan lepas.
“Sehingga kini, ibu bapa bayi berkenaan belum mengambil semula anak mereka dan hebahan ini dibuat bagi menjejaki ibu bapa kandung supaya dapat diserahkan semula bayi itu demi kesejahteraannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat dan permohonan perintah mengikut Seksyen 19(2)(b) Akta Kanak-Kanak dikeluarkan pada 2 Feb lepas.
Waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pelindung JKM Daerah Kulim, Munirah Athirah Abdul Aziz di talian 04-4907403.
— BERNAMA