Siakap Keli
Sumber: Bernama

Johor Peruntuk RM1 Juta Baik Pulih Tebing Sungai Muar

MUAR, 23 Feb (Bernama) — Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1 juta bagi membaik pulih tebing Sungai Muar yang terletak berhampiran Galeri Darurat Bukit Kepong di sini ekoran hakisan sekali gus berisiko runtuh.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kerja baik pulih tebing sepanjang kira-kira 100 meter itu bertujuan memastikan keselamatan orang ramai, terutama pengunjung galeri berkenaan.

“Kerja baik pulih ini selain untuk Galeri Darurat, ia juga untuk tarikan orang ramai melakukan aktiviti riadah di sekitar Sungai Muar berhampiran Mukim Bukit Kepong ini,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil sempena ulang tahun peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya berkata Galeri Darurat Bukit Kepong merupakan khazanah sejarah dalam memperingati pelbagai insiden yang berlaku semasa era darurat selain peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan pasukan keselamatan.

Beliau berkata galeri itu juga telah disenaraikan Polis Diraja Malaysia sebagai lokasi tumpuan utama yang harus dikunjungi dalam kalender pelancongan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

“Menurut rekod kami, sehingga hari ini galeri ini sudah menerima sejumlah 191,275 pengunjung dan berharap ia akan terus bertambah, lebih-lebih lagi pada tahun ini yang merupakan Tahun Melawat Negeri Johor,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story