Siakap Keli

Politik: Persoalan Masih Tidak Terjawab Selepas Beberapa Mesyuarat

KUALA LUMPUR, 23 Feb  (Bernama) — Beberapa persoalan masih tidak terjawab sehingga ke lewat malam ini susulan mesyuarat berasingan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung pengaturan semula landskap politik negara.

Pemimpin-pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup, di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.

Timbalan Presiden PKR,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bercakap banyak mengenai apa yang berlaku  apabila beliau bercakap pada pukul 11.30 malam kepada wartawan yang menanti di Hotel Sheraton Petaling Jaya, lokasi beliau berjumpa  pemimpin PKR yang sehaluan dengannya.

“Kami akan meneruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi dan membangunkan negara serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang terpaksa menunggu lama untuk berjumpa beliau.

Hotel itu juga merupakan venue beberapa pemimpin parti lain, termasuk pembangkang, UMNO dan PAS bertumpu malam ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di kediamannya di Bukit Segambut malam ini berkata pihaknya sedang menunggu maklumat mengenai apa yang beliau anggap sebagai satu percubaan menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Difahamkan Anwar dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang esok.

Hari ini, UMNO mengadakan satu mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam dari pukul 4 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dipengerusikan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu semasa beliau meninggalkan premis itu.

Beberapa Ahli Parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.

Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak 5.30 petang, sesetengahnya diiringi polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana dua jam kemudian.

Di Hotel Sheraton Petaling Jaya, pemimpin Bersatu, PKR, UMNO, MCA, MIC dan PAS menghadiri satu majlis makan malam untuk ahli-ahli parlimen.

Antara pemimpin yang hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC dan Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran  dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)