Siakap Keli

Rusia Dilapor Serbu Tempat Tinggal, ‘Buru’ Warga China Untuk Kekang Covid-19

Kerajaan Rusia dilapor mengarahkan pihak berkuasa untuk menyerbu hotel, asrama, apartment dan bangunan perniagaan untuk mencari warga China bagi mengekang penyebaran Covid-19 di negara itu.

Menurut laporan AP, pihak berkuasa juga dibenarkan untuk menggunakan sistem pengesanan wajah bagi memudahkan usaha menjejaki mana-mana individu warga China yang disyaki melanggar arahan kuarantin selama 14 hari sebaik sahaja menjejakkan kaki di negara berkenaan.

”Menjalankan operasi serbuan adalah perkara yang tidak menyenangkan, tetapi ia adalah perlu. Juga bertujuan mengesan pembawa-pembawa virus yang berpontensi,” kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin.

Selain itu, pihaknya juga mempergiatkan usaha untuk mengesan warga China yang menggunakan semua pengangkutan awam sama ada darat, air dan juga udara.

Pengendali-pengendali pengangkutan awam juga diarahkan untuk menahan mana-mana warga China untuk disoal mengenai tujuan berada di Rusia dan memastikan mereka turut mematuhi arahan kuarantin. Maklumat kesihatan mereka yang ditahan juga diambil melalui borang-borang maklumat kesihatan diri yang perlu diisi.

Bagaimanapun, pendekatan yang diambil oleh Rusia mendapat bantahan daripada aktivis hak asasi manusia yang menuduh ia bersifar perkauman selain mendakwa tidak efektif dalam mengekang Covid-19.

Sumber: AP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.