Siakap Keli

Terserah Kepada Agong Tentukan PM – Penganalisis Politik

Kuala Lumpur: Susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu meneliti pemimpin yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk mengisi jawatan tertinggi itu, kata penganalisis politik.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata Dr Mahathir yang meletak jawatan tanpa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, maka Seri Paduka perlu memilih pemimpin yang mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen.

“Jika tiada (pemimpin yang mempunyai majoriti sokongan) maka Seri Paduka boleh membubarkan Parlimen. 

“Pertukaran kerajaan boleh berlaku dengan cara ini dan tidak perlu untuk pilihan raya yang baharu. Selagi baginda berpuas hati terdapat parti yang mempunyai jumlah majoriti mudah, maka pemimpin parti itu akan dilantik sebagai perdana menteri,” katanya kepada Bernama.

Dr Mahathir hari ini menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia. Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan, selain menyebut surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata: ”(Seri Paduka) Baginda berkenan untuk melantik YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam kenyataan tiga perenggan itu, Mohd Zuki berkata dalam tempoh ini, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa jika seorang perdana menteri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, maka beliau boleh memohon untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

“Namun, situasi yang berlaku ketika ini tidak sebegitu. Perdana Menteri tidak hilang majoiriti. Tidak timbul isu beliau hilang sokongan di Dewan Rakyat. Apa yang berlaku adalah cubaan untuk mengubah komposisi kerajaan yang dikatakan mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

“Proses ini tiada dalam peruntukan perlembagaan. Oleh itu ia boleh ditafsirkan dengan begitu luas selagi ia sesuai dan seiring dengan peruntukan sedia ada.

“Apa dibaca dan dilihat daripada pelbagai sumber media, terdapat pergerakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu yang berbeza daripada kerajaan dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14. Namun sama ada ia akan benar-benar berlaku hanya dapat ditentukan oleh Seri Paduka berdasarkan jumlah sokongan majoriti,” katanya.

Nik Ahmad Kamal pada masa sama turut berkata dalam keadaan apabila seorang perdana menteri merasakan tidak lagi sesuai dengan parti dalam komponennya, maka beliau boleh beralih kepada parti lain yang menyokongnya.

“Tiada peruntukan perlembagaan yang menghalang pertukaran sebegini. Apa berlaku di Perak adalah contoh terbaik apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri menyatakan sokongan mereka kepada pembangkang dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan. Ia kemudian menyebabkan berlakunya pertukaran kerajaan dan lantikan Menteri Besar baharu.

“Selain itu, prosedur juga tidak dinyatakan dalam perlembagaan. Apa yang penting Seri Paduka melantik seorang yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat (ADR), seterusnya proses angkat sumpah berlaku dan perdana menteri akan menasihatkan baginda untuk melantik anggota Kabinet.

“Dalam menentukan sama ada ADR menyokong seseorang untuk dilantik sebagai perdana menteri, lazimnya tandatangan ADR dianggap sebagai bukti. Pada ketika ini kenyataan bersumpah (SD) digunakan namun jika baginda tidak yakin dengan kenyataan itu, maka baginda boleh memanggil ADR untuk menyatakan pendirian masing-masing. Ini pelaksanaan yang tidak dinyatakan dalam perlembagaan,” jelasnya.

Hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH), umum Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keputusan itu dicapai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam.

Sementara, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 anggota PKR, yang juga Ahli Parlimen, turut mengisytiharkan keluar parti hari ini.

Sumber: Erda Khursyiah Basir/Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.