Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tun Mahathir Hadiahkan Dua Lagi ‘Kejutan’ Untuk Rakyat Malaysia

Kuala Lumpur: Pengumuman mengejut Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah melakar sejarah sebagai peletakan jawatan perdana menteri buat kali kedua di negara ini, malah tindakan itu datangnya daripada individu yang sama.

Sama seperti ketika beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri keempat Malaysia pada 2003, pengumuman hari ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan memeranjatkan semua pihak.

Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 selepas memimpin Pakatan Harapan (PH) menumbangkan apa yang beliau gelar sebagai sebuah kerajaan kleptokratik, sekali gus menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional yang diterajui UMNO di Malaysia.

Meskipun mentadbir Malaysia dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 22 bulan pada kali ini, perdana menteri tertua di dunia itu berjaya membawa pembaharuan kepada negara, termasuk usaha memerangi rasuah secara habis-habisan.

Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 merupakan ‘hadiah’ terakhir beliau kepada negara.

Terkenal kerana minatnya dalam bidang automotif, Dr Mahathir yang memperkenalkan kereta nasional pertama iaitu Proton pada 1982 dengan wawasan menjadikan Malaysia sebagai penjana pembuatan serantau, telah melancarkan projek kereta nasional ketiga.

Selaras dengan keinginan PH untuk melaksanakan keadilan, Dr Mahathir turut melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, satu komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mencapai pembangunan mampan dan pengagihan kekayaan yang adil, saksama serta inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Kerajaan yang dipimpin beliau juga telah memastikan bahawa kedaulatan undang-undang dilaksanakan dengan pemisahan kuasa yang jelas antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

Ia turut memberi penekanan untuk memperkasakan wanita dengan inisiatif yang diambil termasuk melantik timbalan perdana menteri wanita serta beberapa jawatan penting dalam Kabinet dan seorang ketua hakim wanita buat pertama kali.

Meskipun tidak lama, negarawan yang dihormati itu telah menerima pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk anugerah tertinggi Jepun, ‘Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ yang disampaikan sendiri oleh Maharaja Akihito dari Jepun.

Mengekalkan sikap tegas dan tidak pernah gentar untuk meluahkan pandangannya, Dr Mahathir juga berjaya ‘mengusik’ khalayak antarabangsa di beberapa peringkat, termasuk mengutuk layanan Myanmar terhadap orang Rohingya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara mengenai layanan buruk Israel terhadap Palestin.

Semasa menjadi perdana menteri keempat, Dr Mahathir yang menggantikan Tun Hussein Onn pada 1981 telah mendorong usaha-usaha pembangunan dan pemodenan negara sehingga menyebabkan beliau digelar sebagai ‘Bapa Pemodenan.’

Ini termasuk pembinaan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas dan Kuala Lumpur City Centre di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 1992 serta pembangunan ibu kota pentadbiran persekutuan Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Koridor Raya Multimedia, inisiatif ICT nasional Malaysia yang dipeloporinya.

Dr Mahathir juga disanjung kerana berjaya menempatkan Malaysia dalam peta sukan antarabangsa apabila negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan Formula Satu yang berprestij dan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi.

Kehidupan Mahathir, yang merupakan anak kelahiran Kedah, adalah berkisar kepada perkhidmatan untuk rakyat meskipun ketika beliau bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan pada 1957, membuka Klinik MAHA, juga di ibu negeri Kedah itu, yang merupakan klinik swasta pertama dimiliki orang Melayu ketika itu.

Sumber: Nik Nurfaqih Nik Wil/Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.