Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ahmad Faizal Kekal MB Perak, Kerajaan Negeri Berfungsi Seperti Biasa

Ipoh: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini memaklumkan beliau masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak, sebagaimana yang diamanahkan selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri Perak masih berfungsi seperti biasa, di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan.

Menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu, semua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.

“Saya telah menyembah maklum berhubung kedudukan politik negara dan negeri kepada Sultan Perak Sultan Nazrin semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal menyeru rakyat agar bersefahaman membantu usaha menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini, untuk membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha pembangunan demi kepentingan rakyat.

“Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah bagi membolehkan kita, mendapat penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Pakatan Harapan (PH) memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN dengan DAP (18); Amanah (6); PKR (4) dan Bersatu (1), manakala BN (27) dan PAS (3) sekali gus menyaksikan tiada mana-mana parti yang memperoleh majoriti mudah iaitu 30 untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, PH berjaya mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas dua ADUN BN menyatakan sokongan kepada gabungan itu.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.