Siakap Keli
Gambar: Bernama

Dr Mahathir Temui Ketua-Ketua Parti Politik

Kuala Lumpur: Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan antara yang hadir:

  1. Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
  2. Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin
  3. Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
  4. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
  5. Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
  6. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
  7. Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Kenyataan itu menyebut, Dr Mahathir juga turut mengadakan pertemuan dengan bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Dr Mahathir dijangka menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, esok.

Dr Mahathir hari ini memulakan tugas sebagai Perdana Menteri interim.

Dilapor, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantiknya sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya semalam.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohd Zuki, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.