Siakap Keli
Kredit: Twitter

Pelantikan Perdana Menteri Interim Tidak Jejas Pentadbiran Negara -Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim tidak akan menjejaskan pentabiran negara dalam tempoh masa pendek, kata penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata ini kerana golongan pentadbir yang merupakan kumpulan pelaksana seperti Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Hakim Negara akan memainkan peranan mentadbir negara sementara ketiadaan kerajaan.

“Buat masa ini, negara kita tiada kerajaan. Kita ada perdana menteri, tetapi kita tiada Kabinet, jadi hanya golongan pentadbir ini yang menjalankan pemerintahan. Apabila tiada kerajaan, dasar atau undang-undang baharu tidak boleh dibuat.

“Jadi, golongan ini hanya boleh melaksanakan mengikut dasar sedia ada sehingga wujudnya kerajaan baharu.

“Oleh sebab itu, adalah perlu untuk menyelesaikannya (melantik perdana menteri baharu dan membentuk Kabinet) dalam kadar segera bagi mengelakkan krisis politik berpanjangan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya semalam.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh interim tidak boleh terlalu lama

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian yang sependapat dengan Dr Mohd Azizuddin pula berkata tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim tidak boleh terlalu lama agar fungsi dan peranan kerajaan dapat diteruskan dengan baik tanpa bersifat sementara.

“Dalam konteks perlembagaan, dibenarkan untuk melantik anggota Kabinet tetapi buat masa ini, kita tidak ada anggota Kabinet lagi dan peranan itu dimainkan oleh KSN menyebabkan ada beberapa keputusan yang mungkin tidak boleh dibuat.

“Oleh sebab itu, saya katakan tidak boleh terlalu lama supaya tidak mengganggu proses pentadbiran di peringkat negara kerana di dalam perlembagaan, tiada apa yang dinamakan sebagai interim,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik daripada UUM Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berkata tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung memberi kesan terhadap komposisi parti dalam kerajaan negeri.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu semalam.

“Apabila Bersatu keluar dari PH, jadi negeri seperti Kedah dan Perak yang menteri besarnya daripada Bersatu, perlu dilihat semula apakah masih mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini kerana di peringkat negeri kita masih lagi melihat kepada sokongan mengikut blok-blok politik,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.