Siakap Keli
Gambar: Bernama

Percaturan Seterusnya Dinanti, Siapa Bakal Isi Kabinet ‘Baru’ Malaysia?

Kuala Lumpur: Perkembangan terkini politik negara termasuk kejutan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengubah kedudukannya kini sebagai Perdana Menteri interim, terus menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk melihat apakah percaturannya selepas ini.

Tanpa sebarang petunjuk nyata mengenai hala tuju pengaturan landskap politik negara, tindakan dan langkah negarawan berusia 94 tahun itu pastinya menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk pemerhati politik antarabangsa.

Berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menteri interim,  Dr Mahathir  akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Walaupun bergelar perdana menteri interim, Dr Mahathir terus mendapat sokongan padu daripada parti-parti politik, waima PH mahupun pembangkang yang telah menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan beliau.

Memasuki hari ketiga kemelut politik negara, fokus hari ini pastinya tertumpu kepada gerakan parti-parti politik khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah mengisytiharkan ‘bercerai’ daripada sekutunya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, PH yang kini dianggotai DAP, PKR dan Amanah, dijadual mengadakan mesyuarat Majlis Presiden pada malam ini, manakala UMNO dan PAS pastinya sedang mencatur strategi demi kelangsungan politik mereka.

Dalam pada itu, bayangan kabinet baru dijangka dibentuk hari ini apabila ramai pengamal media sudah mula berkampung di hadapan pintu Istana Negara sejak pagi tadi. Ahli Dewan Rakyat diramal menghadap Yang Dipertuan Agong untuk membentuk kabinet baharu Malaysia.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.