Siakap Keli
Gambar: Bernama

PM Interim Pentadbir Negara, Perkhidmatan Awam Berfungsi Seperti Biasa

Putrajaya: Jawatan Perdana Menteri interim, yang kini digalas Tun Dr Mahathir Mohamad, berfungsi sebagai pentadbir negara sehingga perdana menteri dan anggota pentadbiran baharu dilantik, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam hal ini, katanya, Dr Mahathir melaksanakan segala urusan pentadbiran kerajaan dalam pelaksanaan dasar dan program sedia ada serta menjalankan tugasan rasmi yang rutin.

“Ini termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan pentadbiran harian kerajaan berjalan secara berterusan,” jelas Mohd Zuki mengenai fungsi perdana menteri interim kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata jentera perkhidmatan awam berfungsi seperti biasa.

”Jentera perkhidmatan awam juga berfungsi seperti biasa dalam pelaksanaan dasar-dasar dan program sedia ada yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Dr Mahathir hari ini memulakan tugas sebagai perdana menteri interim, setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik beliau semalam, selepas menerima peletakan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh.

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei, 2018 selepas Pakatan Harapan yang diterajuinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohd Zuki dalam satu kenyataan semalam turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat perdana menteri.

Sehubungan itu, menurut Mohd Zuki tugas-tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik adalah terhenti pada tarikh yang sama.

Sumber: Norsyafawati Ab Wahab/Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.