Siakap Keli

Protes Pada Majlis Konvokesyen: Bekas Pelajar Kejuruteraan UM Didakwa

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Seorang bekas pelajar kejuruteraan Universiti Malaya (UM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja membangkitkan kemarahan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan tetamu sewaktu Istiadat Konvokesyen UM Ke-59 tahun lepas.

Wong Yan Ke, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengikut pertuduhan, Wong didakwa dengan sengaja telah mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM dan tetamu dengan tindakannya yang boleh menjejaskan keamanan awam di Dewan Tunku Canselor UM di sini, pada 10 pagi, 14 Okt 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam P. Rajsurian yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama kepada polis.

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.