Siakap Keli
Kredit: Bernama

Sebab Saya Meletak Jawatan -Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata banyak sebab yang mendorong beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Isnin lepas.

Menurutnya, salah satu sebab utama ialah beliau tidak dapat menerima jika parti UMNO menyertai kerajaan campuran yang mungkin diwujudkan.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir dalam perutusan khas ke seluruh negara yang disiarkan melalui stesen-stesen televisyen utama dan pelbagai platform media sosial pada pukul 4.45 petang.

Katanya beliau telah meminta untuk diberi masa, tetapi “parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.

“Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini, kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.

“Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.”

Tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan Isnin lepas menimbulkan pelbagai spekulasi dan ini merupakan kali pertama beliau membuat kenyataan umum bagi menjelaskan sebab beliau meletak jawatan.

Dr Mahathir berkata sebenarnya beliau telah berjanji akan meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan pengganti beliau.

“Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak, saya akan terima siapa sahaja yang dipilih,” katanya yang dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong kira-kira enam jam selepas menyerahkan surat perletakan jawatan kira-kira pukul 1.00 tengah hari Isnin.

Katanya peluang untuk menukar kepimpinan memang ada.

“Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya dan menambah itulah sebabnya beliau meminta diberi masa.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.