Siakap Keli

“Tiada Rampasan Kuasa, Tiada Anarki”, Kepada Rakyat Malaysia, Anda Yang Terbaik

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Sebaik sahaja dingin subuh semakin hilang, berderet kenderaan mula bergerak perlahan penuh sabar menghantar anak-anak ke sekolah seperti biasa, kemudian bertali arus pula di jalan dan lebuh raya berkejaran untuk ke tempat kerja, kehidupan berjalan seperti biasa, gedung perniagaan tetap dibuka, perniagaan terus berjalan lancar.

Tidak ada rampasan kuasa, tidak ada anarki, walaupun buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, negara kini ditadbir oleh perdana menteri interim sahaja tanpa kabinet membantu, susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, Isnin lepas.

Di sesetengah negara, ini adalah saat yang mengundang kemunculan pihak yang cuba mengambil alih kerajaan menerusi kekerasan, cara yang menyalahi undang-undang, menggembleng kekuatan fizikal, atau mula menggerakkan usaha merampas kuasa sebaik sahaja tiada kerajaan yang mentadbir negara.

Di sesetengah negara, waktu ini anarki bermula, orang ramai mulai merempuh kedai dan gedung perniagaan, tiada siapa yang kenal dengan undang-undang lagi.

Namun di Malaysia keadaan tetap aman, ketenteraman tetap terpelihara, setinggi tahniah dan penghargaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang penuh berdisiplin.

Kedai-kedai, gedung perniagaan beroperasi seperti biasa di Malaysia, dan rakyatnya kekal mendapat bekalan harian yang diperlukan, tiada yang kurang, tiada sekatan, tiada catuan atau pembelian panik.

Yang jelas adalah kompleks-kompleks perniagaan kini mungkin tidak meriah sepertimana sebelum ini, gara-gara Covid-19.

Jentera kerajaan masih berjalan seperti biasa di semua peringkat persekutuan dan negeri, dengan orang ramai tidak berhadapan dengan apa-apa masalah, semuanya disebabkan perkhidmatan awam yang cekap dalam negara dan juga kakitangan awam yang kekal berdisiplin.

Malah, 1.6 juta kakitangan awam masih menerima gaji bulanan Isnin lepas, yakni hari kerajaan persekutuan terbubar.

Sebelum ini kematangan demokratik rakyat Malaysia juga telah jelas terserlah apabila kerajaan yang mentadbir negara, ditukar menerusi peti undi pada tahun 2018, tanpa sebarang pertumpahan darah.

Kini, keadaan ketika ini juga menuntut seluruh rakyat untuk meletakkan kepercayaan penuh kepada sistem demokrasi berparlimen.

Ini kerana rakyat Malaysia tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad sedang memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu ini.

Dr Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke tujuh pada hari Isnin lepas, dan Yang di-Pertuan Agong yang menerima peletakan jawatan itu kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, beberapa jam kemudian.

Peletakan jawatan Dr Mahathir dibuat susulan perkembangan politk semasa negara, yang dipercayai berkaitan dengan cubaan beberapa pihak menyusun semula gabungan parti kerajaan persekutuan.

Kepada semua rakyat Malaysia, sama-sama kita sanjung kerjasama utuh sesama kita di saat-saat yang penuh mencabar ini, dengan meletakkan kepentingan negara di tempat teratas.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.