VILNIUS, 27 Feb (Bernama) — Pihak berkuasa Lithuania pada Rabu mengisytiharkan darurat sebagai persediaan berdepan kemungkinan penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
“Darurat diisytiharkan sebagai langkah pencegahan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Algirdas Seselgis, memetik media tempatan.
Langkah mengisytiharkan darurat membolehkan tindakan pencegahan dapat diselaras dengan lebih berkesan selain memastikan pengurusan kemudahan perubatan lebih tersusun, kata Seselgis, sambil mengingatkan rakyat mendapatkan maklumat terkini mengenai wabak itu, walaupun negara belum mencatatkan kes COVID-19.
Menurut data Kementerian Kesihatan, 48 sampel telah diuji di Pusat Kesihatan Awam Negara, kesemua disahkan negatif.
Kementerian Kesihatan juga mencadangkan orang ramai yang baru pulang dari China atau utara Itali supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
“Apabila darurat diisytiharkan, semua cadangan akan dikaji semula dan sebahagiannya akan menjadi arahan wajib,” kata Seselgis.
Kebimbangan penduduk Lithuania terhadap kemungkinan penularan wabak COVID-19 semakin meningkat ekoran lebih 300 kes disahkan di utara Itali.
Presiden Lithuania Gitanas Nauseda pada Rabu berkata negara perlu bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan dan menyeru orang ramai supaya tidak panik.
— BERNAMA