Siakap Keli
Kredit: Al-Jazeera

Kaku Dalam Pelukan Ayah, Bayi Syria 18 Bulan Meninggal Dunia Kebekuan

Kaku dalam pelukan ayah. Dalam cuaca bersalji, seorang lelaki mendukung bayinya yang berusia 18 bulan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan bagi penyakit bronkitis dihidap si kecil itu.

Namun malangnya, mereka tidak sempat tiba. Anak kecil itu akhirnya kaku, meninggal kesejukan dalam pelukan si ayah. Tular gambar menyayat hati anak kecil itu yang berbalut kain untuk memanaskan tubuhnya di media sosial.

Inilah kisah sadis Iman Mahmud Laila dari Afrin, Syria.

Iman bukanlah satu-satunya kanak-kanak yang meninggal kesejukan. Baru-baru ini di Idlib, seorang bayi baru lahir, Abdelwahhab turut menerima nasib sama dan meninggal dunia kerana frostbite.

“Saya hanya ingin anak-anak saya berasa hangat. Saya tak mahu kehilangan mereka kerana kesejukan. Saya tak mahu apa-apa melainkan sebuah rumah dengan tingkap yang menghalang sejuk dan angin,” kata Mahmud seperti dilaporkan seorang penulis Wall Street Journal.

Iman kaku dalam pelukan ayahnya. (Kredit: David Volodzko)

Mereka merupakan antara 800,000 pelarian Syria yang hilang tempat tinggal akibat krisis negara berkenaan dalam tempoh sebulan. Malah menurut Al-Jazeera, seramai 143,000 daripada mereka direkodkan hilang tempat berlindung dalam minggu lalu sahaja.

Menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ramai pelarian yang terperangkap dalam kesejukan tanpa air minuman dan tempat berlindung di mana 143,000 daripadanya dalam minggu lalu sahaja.

Meninggal keracunan asap dari pemanas

Mustafa Hamadi dan anaknya, Huda sebelum meninggal dunia keracunan asap toksik. (Kredit: Al-Jazeera)

Dalam satu kes berasingan, satu keluarga meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Kebangsaan di Syria, keluarga berkenaan tidak mempunyai pemanas yang berfungsi dengan baik. Sebaliknya, mereka hanya mempunyai pemanas yang melepaskan asap toksik di dalam khemah sementara mereka yang tidak mempunyai perudaraan baik, menyebabkan mangsa kelemasan.

Dengan suhu pada waktu malam di bawah paras beku dan khemah diselaputi salji, ramai pelarian tidak mempunyai apa-apa untuk memanaskan badan melainkan dengan menggunakan sampah atau baju buruk.

Salah seorang penduduk tempatan, Ahlam memberitahu Al-Jazeera bahawa mereka tidak mempunyai hala tuju.

“Orang ramai tidur di dalam kereta di tepi jalan atau di bawah pokok. Kanak-kanak mati kesejukan,” katanya.

“Paling perit ialah tidak tahu mahu ke mana. Rakyat lari dari pengeboman, tapi tak tahu ke mana patut dituju.

“Bila anda tanya kepada orang ramai di atas jalan ke mana mereka ingin pergi, tiada siapa tahu. Apa yang mereka tahu ialah tiada lagi tempat selamat, jadi lebih baik untuk terus bergerak.

Ahlam yang menyertai badan kemanusiaan World Vision Syria berkata, dia pernah menyaksikan 20 keluarga tinggal bersama dalam satu bilik tanpa makanan dan tandas. Mereka yang membawa bersama seramai 25 anak-anak dikatakan cuba berlindung dari pengeboman tentera Syria dibelakangi Rusia.

Sumber: News1.news, Al-Jazeera

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.