Siakap Keli

Kemelut Politik: Apa Yang Telah, Sedang & Akan Berlaku Rakyat Malaysia Kena Tahu

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Berikut adalah ringkasan peristiwa yang telah, sedang dan akan berlaku di Malaysia susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara.

Apa yang telah berlaku 

21 Feb: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi beliau masa bagi menetapkan tarikh peletakan jawatan sebagai perdana menteri sebelum menyerahkan kuasa kepada penggantinya. Beliau berulang kali memberitahu akan melepaskan jawatannya selepas Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

(Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, PH memutuskan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri selepas tempoh dua tahun Dr Mahathir menyandang jawatan itu. PKR adalah satu daripada empat parti komponen PH selain Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir, DAP dan Amanah.)

23 Feb: Beberapa Ahli Parlimen daripada parti kerajaan PH dan pembangkang berhimpun di sebuah hotel di Petaling Jaya untuk apa yang dilihat sebagai cubaan membentuk kerajaan campuran yang baharu dengan parti-parti komponen berlainan.

(Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang diketahui umum bertelagah dengan Anwar, dipercayai menjadi pemimpin utama dalam usaha itu.)

24 Feb: Dr Mahathir mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

(Dr Mahathir menjelaskan kemudian bahawa satu daripada sebab beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri adalah kerana tidak dapat menerima UMNO dalam kerajaan campuran yang akan ditubuhkan. UMNO adalah parti komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN) yang ditewaskan oleh PH pada pilihan raya umum 2018.)

Beberapa jam selepas meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.

PKR memecat Mohamed Azmin dan sekutunya Zuraida Kamaruddin yang juga naib presiden parti.

Hampir serentak dengan itu, Mohamed Azmin, Zuraida dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam parti.

Bersatu pula mengumumkan keluar daripada PH, yang menyebabkan keruntuhan kerajaan PH kerana kehilangan majoriti di Parlimen.

(PH mempunyai 129 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Selepas Bersatu (26 kerusi) serta Mohamed Azmin dan sekutunya (11 kerusi) keluar daripada pakatan itu, jumlah Ahli Parlimen PH menurun kepada 92 orang yang terdiri daripada DAP (42), PKR (39) dan Amanah (11).)

25 Feb: Al-Sultan Abdullah, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, memutuskan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kemelut politik itu.

Seri Paduka menemu bual secara individu kesemua Ahli Parlimen bagi mendengar sendiri siapa, pada pendapat mereka, yang menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Gabungan Muafakat Nasional, yang terdiri daripada parti-parti BN dan satu lagi parti pembangkang, PAS, menarik balik sokongan kepada Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri berikutnya dan menggesa pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya mengejut selepas menyatakan bahawa kerajaan perpaduan pilihan mereka adalah tanpa DAP.

26 Feb: Dalam perutusan secara langsung menerusi televisyen, Dr Mahathir meminta maaf kerana berlakunya krisis politik itu dan menjelaskan mengapa beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Beliau memberitahu tentang rancangannya menubuhkan kerajaan tanpa parti yang terdiri daripada individu berbanding parti politik.

PH menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri berikutnya.

Apa yang sedang berlaku

27 Feb: Dr Mahathir menghadap Al-Sultan Abdullah.

Kedah dan Melaka mengumumkan kedudukan kerajaan negeri masing-masing adalah kekal seperti biasa.

Johor mengumumkan kerajaan campuran yang baharu.

Johor dan Melaka masing-masing menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri masing-masing yang dijadualkan pada 5 Mac dan 6 Mac ini.

Anwar menghadiri mesyuarat bersama-sama Ahli Parlimen PKR.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau kembali menyandang jawatan pengerusi Bersatu.

Apa yang akan berlaku

2 Mac: Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan untuk memilih perdana menteri baharu yang menerima sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen. Sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya mengejut akan diadakan.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.