Siakap Keli
Gambar: Google

Kerajaan Campuran Bersatu, PH Penyelesaian Terbaik Kemelut Politik Di Kedah

Alor Setar: Persepakatan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah, adalah penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah Datuk Johari Abdul menyifatkan, gandingan itu juga merupakan langkah tepat yang diputuskan demi kepentingan serta memenuhi mandat rakyat, pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kami mengadakan perbincangan yang panjang untuk melihat negeri, rakyat dan pentadbiran negeri… keutamaan kami tentulah rakyat dahulu, untuk memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pula berkata dengan keputusan yang dibuat hari ini, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

“Saya bagi pihak parti Amanah, sebagai pengerusi yang mempunyai empat ADUN, menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai menteri besar untuk terus memimpin kerajaan Kedah,” katanya.

Sementara itu Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew berkata, pihaknya juga menyokong penuh Mukhriz kekal sebagai menteri besar seperti yang sudah dipilih rakyat.

Terdahulu Mukhriz dalam sidang media sama mengumumkan tiada sebarang pertukaran berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah dan beliau kekal sebagai menteri besar.

“Kerajaan yang ada sama, cuma satu perbezaannya dulu kerajaan PH, tapi sekarang kerajaan PH campur Bersatu,” katanya.

Keputusan itu dicapai setelah Mukhriz mendapat sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan PH selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan PAS mempunyai 15 kerusi, Bersatu (6), PKR (7), Amanah (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.