Siakap Keli

Hajat Liverpool Nak Julang Kejuaraan Sulung EPL Mungkin Tak Kesampaian Kerana Covid-19?

Portal berita antarabangsa, Metro UK melaporkan bahawa tiada jaminan untuk pendahulu carta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ’19/20, Liverpool untuk ditabalkan sebagai juara disebabkan wabak Covid-19 yang melanda United Kingdom ketika ini.

Ia berikutan wujud kebimbangan musim liga mungkin dipendek atau dihentikan kerana wabak berkenaan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak diberikan sebarang jaminan untuk dinobatkan sebagai juara sekiranya liga terpaksa dipendek atau dihentikan.

Media antarabangsa juga melaporkan ‘tiada peraturan jelas’ dalam EPL sebagai panduan untuk tindakan sekiranya 38 perlawanan liga tidak berjaya disempurnakan. Ini termasuklah kedudukan bagi 3 terbawah zon penyingkiran serta kelab-kelab yang bakal mara ke kejohanan pentas Eropah di musim seterusnya.

Beberapa penganjuran sukan lain di UK turut dilapor telah dibatalkan. Manakala Newcastle United mengambil langkah drastik untuk melarang semua pemainnya daripada bersalaman selepas tamat sesi latihan.

Liverpool ketika ini selesa mendahuli liga dengan 22 mata tanpa sebarang kekalahan diatas Manchester City ditangga kedua.

Sekiranya situasi diatas berlaku, ia mungkin sedikit kontroversi kerana musim ini merupakan musim Liverpool menampilkan aksi luar biasa dan dicanang bakal menamatkan penantian selama 30 tahun untuk menjulang trofi pertama liga dalam era moden EPL.

Klopp juga turut memberikan respon selepas diajukan oleh wartawan mengenai situasi semasa Covid-19 ketika ini.

”Kami memandang serius perkara ini, bagaimanapun ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Ia bukan sahaja menjadi masalah kepada bola sepak, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat.

”Semoga ada pihak yang dapat mencari penyelesaian, ada jawapan untuk masalah ini.

”Ketika ini, tiada arahan yang melarang kami dari bermain. Liverpool serius dengan perkara ini tapi kami tidak mahu bertindak keterlaluan. 

”Tiada arahan untuk melarang pemain daripada bersalam, tetapi kami juga tidak memaksa mereka berbuat demikian,” katanya kepada wartawan menjelang pertemuan dengan Watford awal pagi Ahad ini.

Sekiranya liga terpaksa dipendek atau dihentikan, perbincangan serius terpaksa diadakan oleh pentadbir EPL sama ada perlawanan-perlawanan yang sudah berlangsung dan kutipan mata semasa terpakai untuk menentukan posisi dalam liga, selain menentukan juara, kelab yang layak ke kejohanan Eropah serta kelab-kelab yang tersingkir dari EPL.

Liverpool hanya memerlukan 4 lagi kemenangan untuk bergelar juara. Liverpool juga sudah mengesahkan slot untuk ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara Eropah akan datang.

Sumber: Metro, Daily Mail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.