Siakap Keli
Kredit: Google

Peniaga ‘Online’ Didenda RM50,000 Mulakan Komunikasi Berunsur Lucah

SEPANG, 28 Feb — Seorang peniaga dalam talian didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi berunsur lucah dalam laman media sosial, dua tahun lepas.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan dan mengarahkan agar barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk proses pelupusan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan aplikasi melalui akaun Twitter ‘plughijau002’ membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang sifatnya lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara MCMC, Cyberjaya dekat sini antara pukul 1.07 pagi hingga 10.03 malam, antara 7 Ogos 2018 dengan 30 Sept 2018.

Denda tidak lebih RM50,000, penjara maksimum setahun, RM1,000 sehari kesalahan diteruskan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Peguam Farasyeriza Md Zabani daripada Jabatan Bantuan Guaman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda paling minimum atau RM1,200 bagi setiap kesalahan yang disabitkan ke atas anak guamnya.

“Tertuduh yang masih bujang tinggal di rumah sewa bersama ibu dan perlu menangung ibunya yang berpenyakit darah tinggi. Perbuatan tertuduh itu untuk melariskan barang jualan dalam talian iaitu minyak belacak…dia tidak sedar akan akibat perbuatannya di sisi undang-undang pada masa itu,” katanya.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Norhani Mohd Adzhar, bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman denda RM15,000 bagi semua kesalahan.

Sementara itu, di kamar berasingan, seorang penganggur Muhammad Firdaus Akil, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan aplikasi cloud Mega dan secara sedar memberikan komunikasi lucah kepada seorang lelaki lain melalui e-mel pada Mac 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara MCMC, Cyberjaya dekat sini pada pukul 5.27 petang 15 Mac 2017, di bawah Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya.

Peguam Muhammad Firdaus, Hayat Muhamad memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum dengan alasan tertuduh menanggung ayahnya yang sudah tua.

Hakim Tuan Tengku Shahrizam Tuan Lah menggunakan budi bicara mahkamah untuk melepaskan tertuduh tanpa menetapkan apa-apa jaminan dan menetapkan 26 Mac ini untuk serahan dokumen.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.