Siakap Keli
Kredit: Bernama

Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Johor Dapat MB Baharu

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Persidangan Khas Dewan Rakyat yang dicadangkan Isnin ini bagi memilih Perdana Menteri Kelapan untuk menyelesaikan krisis politik negara ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berlangsung.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memutuskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dicadangkan itu tidak akan berlangsung.

Beliau berkata, Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli Pemberitahuan Usul yang lengkap.

Beliau berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istana Negara minta ketua parti calonkan wakil sebagai Perdana Menteri

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan persidangan khas Dewan Rakyat itu susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah belum memperoleh keyakinan seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Berikutan itu, Istana Negara akan memberi peluang kepada ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat mengemukakan pencalonan Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.

Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Hasil daripada kenyataan Istana Negara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan PAS mencalonkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan.

PH, yang kini tinggal dengan PKR, DAP dan Amanah selepas Bersatu keluar sehingga menyebabkan kerajaan pemerintahan PH runtuh, Isnin lalu, berkata gabungan itu percaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dalam kalangan Ahli Parlimen berdasarkan proses temu bual yang dijalankan dengan Seri Paduka baginda tempoh hari.

Justeru, Majlis Presiden PH berharap Anwar wajar diberi peluang mengadap baginda untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli Parlimen terhadap pencalonannya sebagai perdana menteri baharu.

Tommy letak jawatan, Johor Terima MB Baru

Di sebalik kerancakkan politik, negara menerima berita mengejut apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan.

Tommy dilantik menyandang jawatan itu pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.

Di Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad daripada UMNO mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Hasni, 61, yang juga Pengerusi BN dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, dilantik sebagai menteri besar ke-18 berikutan penubuhan kerajaan Gabungan Baharu semalam, merangkumi BN, PAS dan Bersatu.

Kerajaan terdahulu, PH yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah hilang majoriti selepas Bersatu bertindak keluar daripada pakatan itu.

Di luar arena politik, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar hatrik apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat tiga musim berturut dengan menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim yang baharu di Larkin, Johor.

Sementara itu, Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini di tengah-tengah kemelut politik tempatan yang masih belum ada penghujung, membayangi prospek negara dan membawa kepada peningkatan tekanan jualan dalam kalangan pelabur asing.

Pada penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.52 peratus atau 22.95 mata kepada 1,482.64 selepas dibuka 20.69 mata lebih rendah kepada 1,484.90 mata pada 9 pagi.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.