Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKR Tidak Pecat Ahli yang Sebelum Ini Sokong Bekas Pemimpin – Anwar

Petaling Jaya: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu menerima baik penjelasan daripada beberapa pemimpin dan ahli parti yang sebelum ini menyokong bekas timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali dan sekutunya.

Beliau berkata pemimpin terbabit menjelaskan bahawa mereka berasa tertipu dan dikhianati oleh bekas pemimpin parti itu yang mengistiharkan keluar parti bersama 10 Ahli Parlimen PKR, Isnin lalu.

Justeru, katanya, mereka yang sebelum ini tertipu dengan permainan beberapa pemimpin parti itu tidak akan dikenakan tindakan pecat daripada parti itu.

“Tak, tak.. Mereka ini tidak keluar dari parti. Saya terima baik (penjelasan), mereka masih taat. Dalam mesyuarat tadi, mereka kata kami sokong tapi tak pernah dengar ada pakatan dengan PAS, UMNO atau nak khianat kepada parti, jadi tak boleh salahkan penyokong.

“Mereka suarakan sendiri mereka rasa tertipu dengan permainan beberapa pemimpin, jadi saya perlu redakan untuk kuatkan parti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di ibu pejabat PKR di Tropicana, di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden,Tian Chua, Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha, Timbalan Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Dalam pada itu, Anwar berkata PKR mengambil ketetapan untuk meneruskan perjuangan parti dengan mengutamakan rakyat, mempertahankan keadilan dan tidak mengizinkan rompakan harta rakyat secara berterusan.

Ketika ditanya adakah kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan ‘dicuri’ daripadanya, Anwar berkata beliau cukup positif menerima kenyataan itu.

”Secara jelas terdapat pengkhianatan tetapi seperti saya katakan, kita perlu bergerak ke hadapan,”  katanya.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.