Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kes Zahid: Pihak Pendakwa Mohon Mulakan Prosiding Hina Mahkamah

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Ini susulan penangguhan perbicaraan hari ini selepas peguam yang mewakili  Ahmad Zahid dilapor memaklumkan bahawa anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, mahkamah telah memanggil kedua-dua pihak petang ini selepas Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Collin Lawrence  Sequerah bahawa pihaknya membuat permohonan itu susulan perkembangan tersebut.

“Saya ingin membuat permohonan (untuk memulakan prosiding) menghina mahkamah,” katanya.

Hakim Sequerah berkata beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu esok.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.