Siakap Keli
Gambar: Google

Wanita Hamil Dinasihat Elak Daripada Jamah 15 Makanan Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

MENGIDAM? Itu satu perasaan normal yang dialami oleh kebanyakan wanita ketika dalam tempoh hamil.

Tetapi, adakah perasaan mengidam ini boleh ditunaikan oleh semua jenis benda, khususnya makanan?

Sebenarnya, banyak pantang-larang yang perlu anda amalkan ketika hamil jika anda ingin kekal sihat.

Mengidam untuk mengambil sesuatu makanan merupakan perkara normal yang dialami oleh wanita hamil.

Namun, bukan semua makanan boleh diambil oleh mereka yang berbadan dua.

Baca artikel dari Hello Doktor ini untuk tahu berkenaan dengan 15 makanan dilarang ketika hamil.

1. Ikan yang mempunyai kandungan merkuri yang tinggi

Gambar: Hello Doktor

Jika isteri anda ingin makan ikan yang mempunyai kandungan merkuri seperti ikan makarel raja, ikan tuna atau ikan todak, elakkan daripada memberikan makanan tersebut kepada mereka. Ia merupakan makanan dilarang ketika hamil.

Merkuri yang terkandung di dalamnya boleh menyebabkan kerosakan pada otak, sistem saraf serta perkembangan penglihatan dan pendengaran pada janin.

2. Makanan laut yang dibakar

Walaupun ramai berpendapat bahawa makanan yang dibakar ini sihat untuk tubuh badan, namun bukan semuanya elok untuk diambil oleh ibu mengandung.

Jika proses penyediaan makanan tersebut tidak dibuat sebaiknya, ia mungkin mengandungi bakteria Listeria monocytogenes. Oleh sebab itulah ia dianggap sebagai makanan dilarang ketika hamil.

Mikroorganisma tersebut mampu menyebabkan gejala cirit-birit dan muntah. Selain itu, ibu hamil yang dijangkiti juga berisiko mengalami keguguran atau kelahiran bayi mati.

3. Telur kurang masak dan mentah

Bakteria salmonella bukan sahaja boleh menyebabkan gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah, tapi ia juga boleh menyebabkan masalah dehidrasi dan lemah sistem pertahanan badan.

Oleh itu, telur kurang masak atau mentah dianggap sebagai makanan dilarang ambil ketika hamil.

Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh mempengaruhi tahap perkembangan bayi anda. Justeru, pastikan anda menggoreng telur sehingga betul-betul masak.

4. Daging mentah

Kadangkala, daging atau ayam yang dimakan tidak masak sepenuhnya. Mungkin daging tersebut masih kelihatan kemerah-merahan atau mengeluarkan darah. Hidangan mentah sebegitu adalah makanan dilarang ketika hamil.

Makanan berdaging separuh masak boleh mengandungi parasit Toxoplasma. Ia boleh menyebabkan kecacatan pada perkembangan janin, keguguran atau kematian janin.

5. Kerang mentah

Gambar: Hello Doktor

Dalam situasi biasa, makanan seperti kerang mentah dan tiram boleh diambil. Namun, tidak untuk ibu mengandung kerana ia merupakan makanan dilarang ketika hamil.

Ia boleh mengandungi toksin berbahaya daripada bakteria atau virus yang menyebabkan simptom keracunan makanan.

6. Daging kisar

Walaupun daging kisar kebiasaannya bebas kuman, tetapi ada risiko untuk mereka yang mengambilnya. Individu yang makan makanan ini berkemungkinan mendapat simptom keracunan makanan akibat daripada bakteria E.coli terutamanya jika ia tidak dimasak dengan betul.

Bagi mengurangkan risiko tersebut, cuba elak mengambil makanan berteraskan daging kisar. Anggap ia sebagai makanan dilarang ambil sewaktu hamil.

7. Susu yang tidak dipasteurkan

Proses pempasteuran susu dapat membunuh bakteria seperti Salmonella, Listeria dan E.coli. Pengambilan susu tidak dipasteur boleh menyebabkan risiko untuk mendapat keracunan makanan meningkat.

Perkara ini boleh mempengaruhi tahap tumbesaran bayi memandangkan bakteria yang terlibat boleh menyebabkan kesan buruk terhadap anda dan bayi.

8. Buah atau sayur yang tidak dicuci dengan betul

Buah atau sayur yang tidak dicuci boleh dianggap sebagai makanan dilarang ketika hamil. Selain daripada racun serangga yang disemburkan terhadap produk makanan tersebut, ia juga mempunyai parasit Toxoplasma.

Jika anda hendak mengambil buah-buahan, basuh ia terlebih dahulu.

9. Keju

Gambar: Hello Doktor

Seperti susu, pengambilan keju yang tidak dipasteurkan boleh mengandungi bakteria. Ia boleh menyebabkan simptom keracunan makanan, keguguran atau kematian dalam kandungan.

Walaupun majoriti keju yang dijual di pasaran sudah melalui pemeriksaan yang teliti, namun adalah lebih baik jika anda anggap keju sebagai makanan dilarang ambil sewaktu hamil.

10. Pucuk mentah

Orang melayu suka makan ulam dan pucuk mentah, kan? Akan tetapi, jika tidak dibasuh, makanan seperti kacang hijau, lobak, brokoli dan bawang mentah boleh mengandungi bakteria berbahaya.

Sebelum anda ambil ulam dan sebagainya, pastikan makanan tersebut dibasuh terlebih dahulu. Lebih baik jika anda boleh masak sayur tersebut.

11. Makanan yang berisiko menyebabkan alergi

Ambil perhatian lebih kepada jenis makanan yang membuatkan anda alergi. Kadangkala, makanan seperti roti dan lauk-pauk yang dimasak boleh mengandungi bahan tersebut.

Jika anda alergi pada kacang, maka itu adalah makanan dilarang ketika hamil. Pengambilan makanan tersebut hanya sesuai diambil oleh mereka yang tidak alergi sahaja.

12. Jus yang tidak dipasteurkan

Jangan sangka susu sahaja perlu melalui proses pempasteuran. Jus juga perlu dipasteurkan supaya bakteria yang terkandung di dalamnya boleh dibunuh.

Jus yang anda tidak pasti sama ada sudah dipasteurkan perlu dianggap sebagai makanan dilarang ketika hamil.

13. Makanan berkafein

Seperti yang anda sudah sedia maklum, kafein boleh menyebabkan kesan mudarat jika diambil secara berlebihan oleh ibu mengandung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan had maksimum 200 mg sehari bagi peminum kopi tegar. Jika diambil secara berlebihan ia boleh menyebabkan masalah berat lahir rendah, kelahiran pramatang dan kematian dalam rahim.

14. Teh herba

Gambar: Hello Doktor

Mungkin teh herba kedengaran seperti bahan minuman yang selamat diambil oleh ibu mengandung, namun herba tertentu seperti kava-kava dan yohimbe perlu dielakkan kerana ia merupakan perangsang rahim.

Ia dianggap sebagai makanan dilarang ketika hamil kerana boleh menyebabkan masalah keguguran dan kelahiran pramatang.

15. Lebihan suplemen vitamin

Walaupun suplemen seperti vitamin B9 (asid folik) perlu diambil oleh ibu semasa hamil, tetapi pengambilannya perlu berdasarkan kepada dos yang ditetapkan.

Jika diambil secara berlebihan, vitamin tersebut boleh menjadi punca bahaya kepada ibu dan janin. Dapatkan nasihat doktor jika anda ingin menggunakan sebarang jenis suplemen.

Konklusi

Semasa hamil, wanita perlu menjaga pemakanan agar komplikasi dapat dielakkan. Pengambilan makanan dilarang ketika hamil boleh membahayakan diri anda dan janin yang sedang membesar. Oleh itu, jika ragu-ragu, ajukan persoalan anda kepada doktor ketika temu janji berkala.

Sumber: Hello Doktor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.