Siakap Keli
Gambar: Bernama

Hampir 50 Peratus Hutan Simpan Yang Terbakar Berjaya Dipadam – Bomba

KUALA LANGAT, 3 Mac (Bernama) — Hampir 50 peratus daripada keseluruhan 50 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di sini yang terbakar lebih lima hari lepas berjaya dipadam setakat ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menganggarkan tempoh masa pemadaman bagi keseluruhan kawasan hutan simpan yang terjejas itu akan berlarutan hingga 10 hari lagi.

Ini kerana katanya, keadaan cuaca yang panas dan kering ditambah dengan faktor angin kuat menyebabkan kebakaran hutan tanah gambut itu mudah merebak setiap hari.

“Kebakaran disyaki berlaku seminggu lebih awal daripada laporan yang kami terima pada Jumaat lepas dan kini telah merebak kira-kira 50 hektar melibatkan enam ‘compartment’ kawasan hutan simpan ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kebakaran hutan simpan berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim, Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan wakil Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Norazam berkata hasil siasatan pihaknya mendapati punca kebakaran bermula akibat pembakaran haram oleh petani yang menceroboh hutan simpan kekal berkenaan bagi menjadikannya tapak tanaman kontan.

“Kita mempunyai gambar daripada dron menunjukkan kawasan ini telah diceroboh untuk ditanam pelbagai jenis tanaman seperti lengkuas, halia, keledek, nanas dan pisang.

“Tanaman kontan ini apabila tiba masanya untuk penanaman semula, petani akan bersihkan dengan cara membakar kawasan itu dan ini menyebabkan kebakaran terbuka tanah gambut. Kebakaran sama di sini pernah terjadi juga tahun lepas,” katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya akan membangkitkan isu berkenaan kepada kerajaan negeri Selangor supaya agensi penguatkuasaan terlibat dapat mempertingkat kawalan keselamatan bagi mengelakkan pencerobohan kawasan hutan simpan kekal itu terus berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohammad Rosli berkata sebanyak 285,000 liter air telah dilepaskan secara pengeboman air oleh pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi lima penerbangan sejak Ahad lepas bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Fairuz berkata walaupun kebakaran hutan simpan itu telah berlarutan hampir seminggu lepas, namun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ mencatatkan bacaan di bawah 100, iaitu masih berada pada paras sederhana.

“Kawasan hutan simpan ini yang terjejas akibat kebakaran hanyalah 50 hektar daripada keseluruhan 9,061 hektar kawasan berkenaan. Kita menggunakan 12 unit dron supaya dapat memantau perebakan kebakaran ini setiap masa.

“Maklumat ini akan disalurkan kepada bomba dan APMM supaya operasi yang dijalankan tepat pada kawasan sepatutnya dan dapat mengawal api daripada terus merebak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right