Siakap Keli

(Video) Penduduk Jakarta Kongsi Pengalaman “Pembelian Panik’ Selepas Terjejas Wabak Covid-19

Pembelian panik dilaporkan tercetus di pasar raya dan farmasi sekitar Jakarta pada 2 Mac berikutan pengumuman Presiden Indonesia, Joko Widodo berkenaan 2 kes positif pertama virus Covid-19 di negara itu.

Ramai penduduk Jakarta berkongsikan pengalaman mereka ketika di pasaraya yang penuh sesak dengan orang ramai yang sedang membeli barangan secara besar-besaran untuk dijadikan stok, berikutan bimbang dengan tercetusnya wabak itu di kota Jakarta.

Sandra, seorang wanita berusia 60 tahun dari Jakarta Barat menyatakan bahawa, dia sangat terkejut apabila melihat orang ramai beratur panjang di pasaraya yang selalu dikunjunginya.

“Saya pergi ke sana untuk membeli barangan keperluan saya untuk sebulan, seperti beras dan makanan lain. Namun saya sangat terkejut apabila mendapati bahawa kesemua sepuluh kaunter yang terdapat di pasar raya itu penuh dengan orang yang sedang beratur,” katanya kepada The Jakarta Post pada Isnin.

Sandra berkata bahawa dia melihat orang ramai mengosongkan rak dengan membeli mi segera dan makanan beku secara banyak. stok barangan seperti gula, pembersih tangan dan pembersih antiseptik telah dilaporkan habis.

“Ibu mertua saya juga turut menyaksikan senario sama di pasar raya berhampiran rumahnya. Melihat daripada senario itu juga membuatkan saya panik. Saya akhirnya membeli lebih banyak daripada biasa,” ujarnya.

Sandra menambah bahawa pelanggan di kedai itu juga kelihatan cemas dan kebanyakan yang sedang berbaris untuk bayar memakai topeng muka.

Etty, seorang wanita berusia 58 tahun daripada Jakarta Selatan, turut mempunyai pengalaman yang sama apabila dia berkunjung ke pasar raya di Radio Dalam pada Isnin. Dia ada disana untuk membeli lampin pakai buang untuk cucunya, namun tidak dapat memasuki pasar raya itu kerana ruang parkir telah penuh.

“Kereta di belakang saya tidak dibenarkan memasuki tempat letak kereta kerana ianya telah penuh. Saya lihat orang yang keluar dari pasar raya sambil menolak tiga buah troli dan barisan yang panjang di kaunter bayaran. Berikutan dengan itu, saya memutuskan untuk terus pulang ke rumah,” ujar Etty.

Selain daripada pasar raya, penduduk Jakarta juga turut membanjiri farmasi untuk membeli pembersih tangan, multivitamin serta topeng muka.

Dea, seorang pekerja pejabat berusia 25 tahun, berkata bahawa dia mendapati banyak barangan telah habis dijual di sebuah farmasi yang terletak dalam pusat beli-belah Central Jakarta.

“Selepas mendengar pengumuman yang dibuat Presiden (mengenai kes Covid-19), saya dan lima rakan sekerja saya yang lain terus pergi ke farmasi berhampiran pejabat kami selepas bekerja. Walaupun begitu, kami cuma dapat membeli multivitamin dan tisu basah sahaja. Barangan lain seperti hand sanitizer dan topeng muka telah habis dijual,” katanya pada Isnin.

Selepas dari itu, Dea telah menuju ke pasar raya untuk membeli barangan runcit, namun pasar raya itu penuh sesak dengan orang ramai.

“Saya terus ambil troli terakhir yang disediakan di pasar raya itu. Saya dapat melihat orang ramai membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, seperti beras dan mi segera secara berkotak-kotak. Ianya amat mengejutkan saya kerana, pasar raya yang saya pergi itu adalah pasar raya yang mahal. Senario sebegitu tidak selalu terjadi di situ,” katanya.

Video dan gambar orang ramai mengosongkan rak pasar raya telah menjadi tular di media sosial.

Gambar seorang lelaki berdiri di sebelah troli yang penuh dengan puluhan kotak mi segera di sebuah pasar raya di Tangerang Selatan, Banten, telah tular di Twitter pada Isnin.

Walau bagaimanapun, ahli keluarga lelaki itu kemudiannya menjelaskan bahawa lelaki itu sebenarnya membeli stok untuk kedainya dan bukan membuat pembelian panik seperti yang terjadi kini.

Sumber: The Jakarta Post

Baca: Tak Boleh berhenti Kunyah, Ini ‘Jajan’ Paling ‘Legend’ Buat Teringat Zaman Dulu-Dulu  

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa