Siakap Keli
Gambar:Bernama

COVID-19: Malaysia Sekat Kemasukan Pelawat Dari Itali, Jepun Dan Iran

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) — Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah di Itali, Jepun dan Iran dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekatan sementara berkuat kuasa serta-merta melibatkan bandar Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali;  Hokkaido di Jepun; dan Tehran, Qom dan Gilan di Iran itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di bangunan Perdana Putra di sini, Noor Hisham berkata sekatan itu turut meliputi semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

“Mengambil kira status semasa penularan COVID-19 di negara ini, mesyuarat antara lain memutuskan agar rakyat Malaysia yang berada di bandar atau wilayah itu mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, rakyat Malaysia di luar negara juga digalak untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia juga telah memutuskan menyekat sementara kemasukan pelawat dari Korea Selatan serta beberapa wilayah di China selepas penularan wabak tersebut yang semakin membimbangkan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story