Siakap Keli

Penyertaan MCA Dalam Kabinet Bergantung Kepada Presiden Parti Dan Muhyiddin – MCA

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada calon MCA akan dipilih untuk berada dalam kabinet bergantung kepada perbincangan antara presiden parti itu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Choong Sin Woo.

Bagaimanapun, Sin Woo berkata MCA berharap barisan kabinet yang bakal dipilih untuk mentadbir kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi serta sektor pendidikan negara.

“Kita tak membincangkan isu kabinet tapi kita bincangkan apa yang patut kerajaan lakukan, terutama  dari segi pendidikan dan ekonomi. Dua perkara ini yang MCA akan bawa kepada kerajaan,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen kutipan dana bagi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) oleh pemandu e-hailing dan teksi.

Sementara itu, mengulas mengenai COVID-19, beliau menggesa kerajaan agar mengusahakan inisiatif bagi melindungi pemandu e-hailing dan teksi kerana mereka terdedah kepada jangkitan virus itu.

Beliau berkata, jika pemandu berkenaan diberi perlindungan yang sepatutnya, mereka juga akan dapat dilindungi.

“Mereka (pemandu e-hailing dan teksi) terdedah kepada ancaman. Mereka perlu mengambil penumpang tetapi mereka tidak dibekalkan dengan penutup mulut dan hidung. Tambahan pula, mereka tidak boleh mendapatkannya di pasaran.

”Mereka adalah satu daripada kumpulan kerjaya yang berisiko tinggi di negara ini, selain daripada mereka yang bekerja di hospital. Oleh itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk melindungi mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.