Siakap Keli

“Ibu Bapa Kecewa,” Pensyarah Ini Bangkit Dari ‘Kegagalan’ SPM Hingga Diterima Masuk Universiti Luar Negara

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 telah diumumkan semalam dan memperlihatkan pencapaian yang lebih baik berbanding pada tahun 2018. Disebabkan itu juga, media sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah dan perkongsian mengenai pelajar yang cemerlang.

Tidak dapat dinafikan bahawa, SPM menjadi medan terpenting yang akan menentukan masa depan setiap pelajar. Namun, jika keputusan yang diperoleh tidak seperti yang diinginkan, ia tidak bermakna masa depan kita juga akan kelam.

Hal ini juga ditekankan oleh seorang pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Midhat Nabil yang berkongsi kisahnya yang tidak mendapat ‘A’ dalam SPM namun berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.

JANGAN SESEKALI BERASA KECEWA DENGAN KEPUTUSAN SPM ANDA, TETAPI BANGKITLAH KEMBALI, KERANA IANYA BUKANLAH PENGAKHIRAN YANG MUKTAMAD

Salam semua, pertama sekali saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada mereka yang telah mendapat keputusan yang cemerlang untuk SPM pada hari ini. Syabas buat diri anda. Sudah pasti ibu dan ayah anda juga turut gembira dengan kejayaan tersebut.

Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang, usahlah terlalu bersedih. Perjalanan anda sebenarnya masih jauh lagi. Jadikanlah kegagalan ini sebagai pemangkin untuk kejayaan-kejayaan yang akan mendatang.

Pengalaman saya sendiri bagi SPM dahulu, saya langsung TIADA A bagi mana-mana subjek yang telah saya ambil. Terus terang saya katakan, yang ketika itu saya begitu malas untuk belajar sebelum menduduki peperiksaan SPM. Ibu bapa saya berasa sungguh kecewa dengan keputusan saya ini, kerana mereka telah memberikan yang terbaik di pihak mereka untuk melihat saya berjaya. Ini, termasuklah membeli buku-buku latihan tambahan, menghantar saya ke kursus motivasi dan juga menghantar saya ke pusat tuisyen.

Di sepanjang menempuh perjalanan-perjalanan akademik yang seterusnya, saya bangkit semula dan belajar dari kesilapan yang lalu. Saya bermula semula dari peringkat yang paling rendah sekali, iaitu Pra-Sains (pernah Gagal dan Diberhentikan pada semester pertama, tetapi kemudiannya ditawarkan kembali untuk belajar di semester kedua), diikuti peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (bergraduasi dengan keputusan Kepujian Kelas Pertama, tidak perlu membayar kembali pinjaman PTPTN) dan juga Sarjana (berjaya menjadi pelajar terbaik). Akhir sekali, saya telah berjaya untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di United Kingdom (UK) dengan tajaan penuh daripada kerajaan Malaysia.

Kepada ibu bapa yang anak mereka tidak mendapat keputusan cemerlang untuk SPM, usahlah bersedih, kerana perjalanan mereka sesungguhnya masih jauh lagi. Teruskanlah memberi galakan dan sokongan kepada mereka. Setiap orang sesungguhnya mempunyai POTENSI DIRI yang berbeza. Jika mereka tidak berjaya pada hari ini, Insya-Allah akan berjaya di kemudian hari. Kepada para pelajar pula yang bersedih dengan keputusan SPM anda, bangkitlah semula untuk perjalanan menuntut ilmu yang berikutnya. Buktikanlah bahawa anda juga sebenarnya boleh menggembirakan hati kedua ibu bapa anda.

Ingat pesanan saya sekali lagi, “Gagal sekali, bukanlah bererti gagal selamanya”.

YAKIN BOLEH!!! Insya-Allah 💪💪💪

Nukilan ikhlas,

Prof. Madya Dr. Midhat Nabil,
Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

#Motivasi
#Janganputusasa
#Bangkitdarikegagalan

Sumber: Midhat Nabil

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa