Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kurang Setahun Di SPRM, Latheefa Koya Catat Sejarah Tersendiri

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Latheefa Koya mencatat sejarah tersendiri, apabila menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun tidak sampai setahun menerajui SPRM, Latheefa yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang itu, menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Walaupun tidak lama memegang jawatan itu, ketegasan wanita itu jelas apabila pelbagai tindakan diambil, dalam usaha memastikan Malaysia menjadi negara yang bersih daripada rasuah.

Latheefa dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, beliau menyerahkan surat menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac dan semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, untuk menjelaskan keputusan beliau untuk meletak jawatan.

“Ini satu keputusan saya sendiri untuk berbuat demikian … niat saya adalah untuk kembali sebagai peguam bela hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan itu.

Latheefa yang sebelum ini Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, dilantik ke jawatan tertinggi SPRM oleh kerajaan Pakatan Harapan, untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Jun tahun lepas, dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Sejak dilantik, pelbagai cabaran dihadapi wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti London itu, termasuk desakan untuk meletak jawatan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun segala kritikan dan desakan itu tidak menjejaskan Latheefa, dalam melaksanakan tugas dengan tegas dan berani.

Kelantangan Latheefa ketika memacu suruhanjaya itu pasti dikenang, terutama ketika beliau dengan beraninya mendedahkan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara, akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Beliau juga antara lain mendedahkan rakaman audio berhubung kebocoran maklumat, didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Wanita yang lahir di Kerala, India, dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor itu, pada Disember lepas turut menegaskan bahawa, SPRM akan membuka semula dan menyiasat lebih 10 kes lama, membabitkan rasuah, termasuk yang berprofil tinggi.

Usaha berterusan dalam membasmi rasuah itu, menyaksikan Malaysia berjaya memperbaiki kedudukannya dengan melonjak 10 anak tangga, untuk menduduki tempat ke-51 pada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2019.

Antara perubahan yang dibawa ialah menghentikan amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek yang ingin dibawa ke mahkamah, sejajar dengan anggapan tidak bersalah serta Fasal 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun singkat menerajui badan untuk membasmi gejala rasuah itu, Latheefa dilihat sebagai wanita yang berani dan tegas dan sentiasa berusaha untuk membersihkan rasuah.

“Operasi berjalan seperti biasa di SPRM, dalam urusan pegawai saya yang berkaliber.

“Saya melepaskan jawatan saya dengan penuh keyakinan, yang SPRM akan terus tidak berkompromi dan tanpa henti dalam usaha memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan ataupun fahaman politik pelakunya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right