14 Biji Manik Magnet ‘Tertanam’ Dalam Perut, Bayi 16 Bulan Derita Usus Koyak

Seorang bayi lelaki terpaksa dibedah akibat tertelan 14 biji mainan magnet sehingga menyebabkan ususnya terkoyak.

Insiden yang mengejutkan itu mula disedari ibunya selepas bayi berusia 16 bulan yang berasal daripada Zhejiang, China itu dibawa berjumpa dengan doktor kerana mengalami sakit perut.

Ibu kepada bayi tersebut menyatakan bahawa doktor yang memeriksanya berpendapat ianya mungkin disebabkan makanan yang tidak tercerna dengan baik.

Namun selepas menjalani rawatan selama 2 hari, kes tersebut telah dirujuk ke Lishui Central Hospital untuk imbasan di bahagian perut.

“Kami hanya mengetahui tentang bebola magnet itu selepas kami melihat imbasan CT (CT scan).”

Pakar pediatrik klinik pesakit luar, Zhang Heng berkata bahawa imbasan itu jelas menunjukkan objek besi yang terdapat dalam sistem penghadaman bayi tersebut.

Selepas mengesyaki bahawa bebola itu adalah permainan Buckyball, wanita itu menyatakan bahawa bayinya berkemungkinan telah menelan permainan tersebut ketika sedang bermain bersama anak jirannya.

Zhang Heng kemudiannya bertindak melakukan satu pembedahan kecemasan bagi membantu bayi berkenaan.

Manik-manik magnet yang telah mengoyakkan perut dan usus bayi itu berjaya dikeluarkan selepas 2 jam pembedahan dilakukan.

Doktor Zhang berkata: “keadaannya agak serius kerana dia telah menelan 14 biji manik magnetik.

“Dua daripada manik magnet itu telah ditemui di dalam perutnya, dua lagi di usus besar, manakala 10 lagi di dalam usus kecil.

“Kerana bebola tersebut telah lama berada di situ, perut serta usus kecil dan besarnya telah berlubang di enam tempat.

“Akibatnya, terjadi pencemaran dan jangkitan serius di dalam rongga bayi berkenaan,” ujarnya.

Bayi tersebut dilaporkan sedang stabil selepas dibedah dan sedang dirawat di unit rawatan rapi.

Insiden tersebut bukanlah kejadian yang pertama kali terjadi. Ini kerana, pada Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun telah dikejarkan ke hospital selepas menelan 37 biji manik magnet Buckyball sehingga menyebabkan lubang pada 5 tempat di perutnya.

Pegawai perubatan di Hunan Children’s Hospital di Changsha, China, menemui permainan tersebut ketika penjaga kanak-kanak itu mengadu anaknya sedang mengalami sakit perut.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my