Siakap Keli

Awas, Risiko Nak Kena Kencing Manis Sehingga 55 Peratus Jika Selalu Tak Bersarapan

Ramai yang sedia maklum bahawa sarapan adalah salah satu waktu makan yang sangat penting antaranya kerana untuk membekalkan tenaga kepada badan bagi memulakan aktiviti harian.

Begitupun ada juga yang kerap kali tidak mengambil sarapan atas pelbagai alasan dan lebih selesa untuk menanti waktu makan tengah hari.

Tapi, berapa ramaikah antara kita yang sedar bahawa kerap tidak mengambil sarapan pagi boleh menjejaskan kesihatan diri seperti terdedah kepada risiko penyakit kencing manis?

Jom baca perkongsian daripada Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Melaka ini.

SELALU TIDAK BERSARAPAN, KETAHUI RISIKONYA

Mereka yang meninggalkan sarapan sehari dalam seminggu mempunyai risiko 6% lebih tinggi menghidap diabetes berbanding mereka yang bersarapan setiap hari.

Risiko tersebut terus meningkat sehingga 55% bagi mereka yang meninggalkan sarapan 4 – 5 hari seminggu.

Amalan melangkau (skipping) sarapan boleh menyebabkan seseorang makan berlebihan untuk memenuhi rasa lapar yang membuak-buak akibat dari tempoh masa berlapar yang panjang.

Pada masa yang sama seseorang cenderung membuat pilihan makanan yang kurang sihat pada waktu makan yang seterusnya. Sebagai contoh pengambilan makanan tinggi kalori, gula, lemak dan garam.

Kebanyakan mereka yang mengambil sarapan juga lebih sihat kerana mempunyai gaya hidup sihat seperti tidak berlebihan berat/obes, mengamalkan makan secara sihat dan mengambil lebih serat serta mikronutrien.

Manakala, mereka yang meninggalkan sarapan biasanya kurang bersenam, tidak makan secara sihat, merupakan perokok dan mengambil alkohol.

Pilihan sarapan yang tinggi serat, karbohidrat kompleks dan protein adalah yang terbaik. Ia dapat membantu memulakan hari anda di samping memberikan tenaga, memenuhi selera makan, dan menjadi penanda aras untuk makan secara sihat sepanjang hari.

Contoh sarapan sihat adalah :

1. Bijirin penuh seperti oat boleh menjadi pilihan yang sihat kerana tinggi serat. Sebaiknya cuba elakkan oat berperisa atau oat pracampur kerana mempunyai tambahan gula yang tinggi. Sebaliknya, tambahkan buah-buahan segar seperti pisang, buah kering dan kekacang untuk rasa yang lebih menyelerakan.

2. Pilih roti bijirin penuh dan makan dengan protien yang dimasak secara sihat seperti telur rebus, ayam panggang dan tuna/sardin bersama perahan limau.

3. Menu nasi, bihun atau mi di masak secara kurang minyak dan diambil dalam kuantiti 1 – 1 1/2 cawan. Makan bersama saiz protien dan sayur-sayuran yang disarankan untuk mengawal kalori atau ikut konsep suku-suku separuh.

Kesimpulannya, amalan bersarapan secara sihat setiap hari dan gaya hidup sihat adalah sangat penting untuk mencegah penyakit kronik seperti diabetes.

Rujukan :

1. Ballon, A., Neuenschwander, M. & Schlesinger, S. 2019. Breakfast skipping is associated with increased risk of type 2 diabetes among adults: A systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. Journal of Nutrition, 149 (1).

Sumber: Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Melaka

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.