Siakap Keli
Kredit: Bernama

Covid-19: Yang Dipertuan Agong Zahirkan Kembimbangan, Titah Rakyat Bantu KKM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam.

Justeru, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut agar jangkitan COVID-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan COVID-19.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan penganjur-penganjur majlis menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta selain menyediakan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) yang mencukupi bagi kegunaan peserta.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan dan pemantauan berterusan oleh KKM serta agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksana secara berkesan.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas usaha KKM dalam menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

“Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini,” katanya.

Semalam, KKM mengesahkan penambahan 28 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus itu di Malaysia sebanyak 83 kes.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.