Siakap Keli

Keluarga Mangsa MH17 Boleh Beri Kenyataan, Tuntut Kerugian Pada Perbicaraan

AMSTERDAM, 7 Mac (Bernama) — Ahli keluarga 298 penumpang dan anak kapal penerbangan MH17 Malaysia Airlines dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine, dibenar memberi kenyataan di mahkamah ketika perbicaraan dan boleh menuntut kerugian yang dihadapi akibat insiden tersebut.

Pegawai Kehakiman Media Mahkamah Daerah The Hague Yolande Winnobel berkata, ahli keluarga terbabit boleh memberikan kenyataan secara lisan ataupun menghantar penilaiaan impak secara bertulis.

“Ahli keluarga dibenarkan untuk menghadiri perbicaraan, tetapi walaupun mereka tidak hadir, mereka masih lagi boleh terlibat. Mereka boleh menghantar tuntutan untuk ganti rugi dan nyatakan apa yang mereka tanggung, dan jumlah pampasan yang dikehendaki,” katanya kepada wartawan Malaysia di pusat media di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di sini.

Beliau berkata mahkamah akan mengkaji kenyataan mereka.

Wijnnobel berkata mengikut undang-undang Belanda, ahli keluarga biasanya diberi peluang untuk memberikan kenyataan mereka di mahkamah, hanya selepas mahkamah mendengar merit kes tersebut.

“Bagaimanapun, ia bukan satu mandatori, seorang hakim itu boleh pada budi bicaranya untuk lakukan satu perkara, sebelum perkara yang lain, atau untuk membenarkan sesuatu untuk dilakukan, pada awal perbicaraan,” katanya.

Tiga hakim akan mendengar perbicaraan berkenaan pada Isnin, yang akan berlangsung di Mahkamah Daerah The Hauge di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di sini, dengan dua lagi hakim bertindak sebagai hakim simpanan.

Menjelaskan mengenai perjalanan prosiding pada Isnin, beliau berkata hakim yang mempengerusikan perbicaraan akan memperkenalkan barisan hakim dan merekodkan pihak yang hadir ke mahkamah, termasuk para peguam atau tertuduh dan juga ahli keluarga mangsa.

Pasukan penyiasat bersama antarabangsa (JIT) yang diketuai Belanda telah merumuskan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro-Rusia (terlibat dalam konflik dengan Ukraine) yang melancarkan peluru berpandu anti-pesawat BUK.

Pada Jun 2019, JIT yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, mengumumkan tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang warganegara Ukraine, Leonid Kharchenko akan didakwa atas perbuatan menembak jatuh MH17 itu.

Waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadap suspek berkaitan perkara ini.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, apabila ditembak jatuh sebelum terhempas berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilomter dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Insiden itu mengorbankan 298 orang, termasuk 15 anak kapal.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.