Pahang Terus Kempunan Kemenangan, TFC II Gah Di Takhta Liga Premier

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Pahang terus kempunan dalam pemburuan tiga mata pertama saingan Liga Super musim ini, selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan PJ City FC, pada aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), malam ini.

Skuad Tok Gajah mahu mengutip mata berdepan PJ City FC selepas tewas 1-2 di tangan Selangor pada aksi pembukaan minggu lalu, namun gagal mempertahankan kedudukan 2-1, sehingga membenarkan PJ City FC bangkit meledak dua gol, untuk memperoleh kemenangan pertama musim ini.

Beraksi di venue alternatif, PJ City FC sebagai pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-11, menerusi pemain import Demba Camara, namun Pahang pantas menyamakan kedudukan empat minit kemudian, hasil sepakan penalti disempurnakan Dickson Nwaekame.

Pemain import baharu, Ivan Carlos meletakkan Pahang di hadapan selepas melakukan tampanan mengelirukan, yang menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-51, tetapi kegembiraan itu tidak kekal lama sejurus R.Barathkumar, menjaringkan gol kedua PJ City pada minit ke-59.

Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2, R.Kogileswaran mengesahkan kemenangan PJ City FC, menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Pada masa sama, Melaka merampas kedudukan pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-1, menewaskan Polis Diraja Malaysia pada aksi di Stadium Hang Jebat.

Gol tunggal Melaka pada babak pertama dijaringkan Uche Agba, apabila menanduk kemas bola hantaran rakan sepasukan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, sebelum bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim meletakkan skuad Sang Kancil selesa, mendahului 2-0 pada minit ke-71.

PDRM enggan mengalah apabila merapatkan kedudukan menerusi Antonia Germain pada minit ke-81, namun Melaka berjaya mengekalkan disiplin bertahan, sebelum Wan Amirul Afiq melengkapkan malam gemilang Melaka, dengan gol ketiga dari luar kotak penalti pada masa kecederaan babak kedua.

Sementara itu, Terengganu FC II (TFC II) melakar kemenangan kedua berturut-turut, apabila menewaskan Perak II 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sekali gus mengutip enam mata untuk mendahului di puncak takhta Liga Premier.

Dua gol TFC masing-masing dijaringkan Bruno Suzuki pada minit ke-25, dan Muhamad Zuazyraf Zulkieflie pada minit ke-86.

Sementara itu, gol sendiri pemain Kuching FA Razziman Razali pada minit ke-54 memberikan Kelantan United, kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Kuching FA 2-1 di Stadium Sultan Mohamad IV.

Terdahulu Kuching FA mendahului pada minit ke-19 menerusi Rafiezan Razali, sebelum Alfusainey Gassama meledak gol penyamaan Kelantan United FC.

Dalam pada itu, aksi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menentang Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, terpaksa dihentikan seawal minit keenam dan ditangguhkan ke satu tarikh baharu susulan cuaca hujan dan petir.

— BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my