Siakap Keli
Gambar: Bernama

Empat ADUN PH Perak Keluar Parti, Sokong Perikatan Nasional

IPOH, 9 Mac (Bernama) — Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan Harapan (PH) hari ini bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang ADUN PKR menyertai Bersatu, serta dua ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Mereka yang terlibat ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, dan yang lain menyertai Bebas ialah ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A.Sivasubramaniam kedua-duanya daripada DAP serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain dari AMANAH.

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul bagaimanapun menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional Perak yang akan mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada PH selaras dengan jajaran politik baharu di negeri itu.

Penyertaan Abdul Yunus ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan parti itu kini mempunyai empat daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selain Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Chenderiang), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Tindakan dua anggota DAP itu keluar parti menyebabkan kerusi yang dipegang DAP dalam DUN Perak berkurang daripada 18 kepada 16 sementara Amanah pula hilang satu daripada enam kerusi yang dipegangnya dalam DUN Perak.

Dengan itu, komposisi DUN Perak kini terdiri daripada Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO (25); DAP (16); Amanah (5); Bersatu (4); PKR (3), PAS (3) dan Bebas (3).

Abdul Yunus ketika ditemui pemberita selepas sidang media sulung Perikatan Nasional Perak di sini berkata keputusan menyertai Bersatu dibuat pada minggu lepas setelah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan demi meneruskan perjuangan membela rakyat.

Beliau menegaskan tiada pujukan, tekanan atau ugutan dalam membuat keputusan untuk meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu, sebaliknya ia dibuat bagi meneruskan perjuangan membela rakyat.

“Borang (penyertaan dalam Bersatu) saya masih dalam proses dan akan memaklumkan penyertaan dalam Bersatu kepada PKR secepat mungkin. Pada saya isu khianat adalah tidak relevan,” katanya.

Pada 2 Mac lepas, Abdul Yunus hadir majlis pengumuman keluar parti oleh lebih 400 ahli PKR di beberapa cabang parti itu, namun memaklumkan ia sebagai sokongan moral kepada penyokong kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Yong dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan berkata beliau Hasnul Zulkarnain serta Sivasubramaniam nekad menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong Perikatan Nasional demi menjaga hak dan kepentingan rakyat yang memberi mandat kepada mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Yong yang sebelum ini adalah Exco Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu berkata keputusan untuk menyokong Perikatan Nasional juga dibuat bagi mengimbangi kerajaan negeri daripada sudut komposisi kaum yang rata-rata dilihat terdiri daripada orang Melayu.

“Saya nampak Perikatan Nasional ini tidak begitu sempurna dengan ketiadaan wakil rakyat daripada kaum Cina dan India. Jadi, ini juga antara faktor yang buatkan kita menyokongnya,” kata beliau.

Sementara itu, Sivasubramaniam yakin sokongan yang diberikan terhadap Perikatan Nasional dapat meneruskan kesinambungan terutama dalam membangunkan kawasan Buntong seperti yang dijanjikan pada PRU14.

“Saya sokong kerajaan ini kerana ingin melihat pembangunan yang dirancang sebelum ini seperti Rumah Perakku dapat dilaksanakan di Buntong bagi memastikan janji yang kita cakap sebelum ini dilaksanakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right