Siakap Keli

Lima Menteri, Empat Timbalan Menteri Wanita Perkuat Kabinet

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Barisan jemaah menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyaksikan wanita diberi kepercayaan menerajui lima kementerian selain empat orang lagi dilantik menjadi timbalan menteri.

Mereka terdiri daripada gandingan mula lama yang telah berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini dan muka baharu termasuk pelantikan julung kalinya wakil rakyat wanita daripada PAS selain wakil daripada Bersatu, Barisan Nasional (BN), dan GPS.

Bilangan wanita yang dilantik kali ini tidak berbeza dengan jumlah dalam barisan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Lima Ahli Parlimen yang diberi kepercayaan menjawat jawatan menteri ialah Datuk Seri Rina Harun (Menteri Wanita dan Keluarga); Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi); Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan); dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan).

Rina dalam Kerajaan PH sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar, manakala Zuraida kembali menjawat jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini.

Nancy, pula sebelum ini pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Halimah adalah bekas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagi jawatan timbalan menteri pula, Muhyiddin turut memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Wanita daripada PAS dengan melantik muka baharu Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga.

Pelantikan Siti Zailah yang merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merupakan merupakan sejarah baharu dalam politik negara.

Dua lagi muka baharu yang dilantik menjadi timbalan menteri ialah Datin Mastura Yazid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas); dan Datuk Hanifah Hajar Taib (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia semasa pentadbiran Kerajaan BN sebelum ini, kini dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang