Siakap Keli
Foto: AADK Besut

“Nak Cari Ketenangan,” Penagih Dadah Mengaku, 2 Tahun Tinggal Dalam Kelambu Belakang Rumah

BESUT, 9 Mac – Seorang penagih dadah sanggup tinggal di dalam kelambu beralaskan tikar di belakang rumahnya dengan alasan untuk mencari ketenangan semasa menghisap dadah sejak dua tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai AADK Besut, Puan Noor Hafizza Binti Mat Zin, lelaki berumur 41 tahun yang tinggal di Kg. Kerandang ini akan naik ke rumah yang didiami ibu dan adik perempuannya yang sudah berkahwin untuk makan dan akan kembali ke ‘port’nya di dalam semak di belakang rumah.

Menurut Ketua Unit Penguatkusaan dan Keselamatan (Operasi) AADK, Ahmad Ismail Basyir Baihaqi berkata, lelaki tersebut antara 5 orang yang ditahan dalam Operasi Cegah/ Sharp AADK Besut.

Katanya lagi, operasi yang bermula jam 2 pagi ini tertumpu kepada kes-kes aduan SHARP AADK di kawasan Hulu Besut, Jerteh dan Kuala Besut.

“Kesemua yang ditahan berumur 20 hingga 45 tahun ini dibawa ke Pejabat AADK Besut untuk dijalankan ujian saringan urin dan hasil ujian mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan lelaki ini juga positif dadah jenis Opiat,” jelasnya lebih lanjut.

Menurut Majistret Daerah Besut, kelima-lima penagih tersebut berada dalam tahanan reman selama 14 hari bermula hari penangkapan.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998, katanya.

 

Sumber: AADK Besut Perangi Dadah

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)