Siakap Keli

Zahasmi Mahu Pemain Profesional, Yusri Tidak Mahu Pemain Dengki

KOTA BHARU, 9 Mac — Ketua Jurulatih Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail mahu pemainnya bersikap profesional ketika pertemuan menentang pasukan Kelantan The Red Warriors (TRW) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Zahasmi mengakui bahawa pertemuan pasukan berstatus “adik-beradik” pada malam esok itu akan mempengaruhi mental pemain sepanjang 90 minit aksi perlawanan yang dijangka dihadiri ribuan penyokong.

“Pemain perlu lebih profesional walaupun secara realitinya mereka (pemain) akan mempunyai perasaan segan, takut apabila bertemu sesama sendiri dari negeri yang sama… apabila pemain berada di atas padang, ia kerjaya pemain yang perlu melaksanakan tugas pihak majikan, kawan tetap kawan di luar padang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zahasmi berkata, keputusan perlawanan malam esok amat bergantung kepada sikap pemain kedua-dua pasukan untuk memperoleh kemenangan, dengan pasukan yang melakukan terbaik dan kurang melakukan kesilapan dijangka memperoleh tiga mata penuh.

“Begitu juga saya tidak mahu pemain terutama barisan penyerang mengulangi kesilapan ketika bertemu Kuching FA Sabtu lepas, tidak menggunakan sepenuhnya peluang untuk menjaringkan gol dan tidak terlalu bergantung kepada nasib semata-mata sebaliknya berusaha sedaya mampu,” katanya.

Selepas dua perlawanan, KUFC ketika ini berada di kedudukan ketiga liga apabila memperoleh enam mata manakala pasukan TRW di kedudukan kelapan dengan memperoleh satu mata.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TRW Yusri Che Lah berkata beliau tidak mahu pemainnya mempunyai perasaan dengki dengan kelebihan yang dimiliki oleh KUFC selepas mengharungi dua perlawanan sebelum ini kerana sikap itu akan memberi lebih tekanan kepada pemain.

“Jika sikap dengki menguasai pemain, pemain akan lebih mendapat tekanan sebaliknya pemain perlu bermain mengikut suasana perlawanan sebelum ini dan perlawanan ketika menentang pasukan lain, serta tidak terikut-ikut dengan sorakan penonton.

Pada pandangan Yusri, beberapa pemain KUFC seperti Mohd Shahrizan Ismail, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dan Mohamad Rozaimi Azwar yang pernah dibimbingnya pada musim 2018, dilihat mempunyai kualiti yang cukup baik dan menunjukkan peningkatan serta kematangan dalam permainan yang pasti menjadi ancaman kepada skuad bimbingannya.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)