Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Mayat Lelaki Dalam Keadaan Kaki Dan Tangan Terikat Ditemui

BUKIT MERTAJAM, 10 Mac (Bernama) — Bau busuk dari sebuah rumah di Flat Taman Pauh, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki malam tadi, dalam keadaan kaki dan tangannya terikat manakala kepala diserkup dengan sarung bantal, dipercayai dibunuh.

Mayat Zahari Abdul Hamid, 48, yang tinggal seorang diri di rumah itu ditemui dalam keadaan terlentang dalam bilik utama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin berkata jiran lelaki itu memaklumkan terdapat bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan dan dia yang mengesyaki sesuatu tidak kena telah membuat laporan polis pada kira-kira pukul 9.45 malam.

“Sepasukan polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati pintu jeriji hadapan rumah lelaki itu dalam keadaan tertutup dan berkunci. Kami terpaksa memanggil pihak bomba untuk memecahkan pintu utama,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

“Kipas dan lampu ruang tamu rumah dalam keadaan terpasang dan polis menemui mayat lelaki itu dalam keadaan terlentang berhampiran katil, dengan tangan dan kaki terikat dengan wayar, manakala kepalanya diserkup sarung bantal warna merah,” tambahnya.

Mustafa berkata pemeriksaan awal mendapati keadaan mayat itu sudah mula mengembung serta berbau busuk, dan lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

— BERNAMA

 

Sofea

There's always another side to every story