Siakap Keli

Edar Dadah Untuk Sara Kekasih Gelap, Pembancuh Kopi Ditahan

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Perbuatan seorang pembancuh kopi yang sanggup mengedar dadah di sekitar Lembah Klang semata-mata untuk menyara kekasih gelapnya, membawa padah apabila dia akhirnya ditahan dalam satu operasi di Jalan Dutamas 1 di sini, pada 4 Mac lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata lelaki tempatan berumur 52 tahun dan sudah berkeluarga itu, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada 10.30 malam, di dalam sebuah kereta jenis BMW 330e.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui wang tunai bernilai RM3,200, dadah jenis methamphetamine (61 gram), ganja (82 gram), pil ekstasi (650 biji), pil erimin 5 (140 biji) dan merampas kenderaan yang dinaiki suspek dianggar bernilai RM250,000.

“Selepas soal siasat dilakukan, suspek kemudiannya membawa polis memeriksa dua kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya iaitu lokasi menyimpan bekalan dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul di sini, hari ini.

Dalam serbuan di salah sebuah premis itu, polis menahan dua wanita warga Vietnam berumur 29 dan 25 tahun dengan seorang daripadanya merupakan ‘kekasih gelap’ suspek, bekerja sebagai juruhias kuku di ibu negara.

Hasil pemeriksaan lanjut di kedua-dua premis itu, polis berjaya merampas pelbagai mata wang asing bernilai RM7,496, pelbagai jenis barangan kemas dianggar RM18,000, pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ketamin dan pil ekstasi.

Turut dirampas sepucuk pistol angin bersama 300 butir peluru ball bearing.

Mazlan berkata kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dari tarikh ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis menahan 11 individu termasuk dua wanita, disyaki ahli kumpulan Geng Wan Master, dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri enam kereta mewah di sebuah premis menjual kereta terpakai di Segambut pada 15 Feb lepas.

Beliau berkata suspek yang berumur 24 hingga 41 tahun, ditahan dalam Op Lejang yang dilakukan selama lapan hari bermula 22 Feb lepas di Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam operasi itu, lima kenderaan yang dicuri oleh kumpulan itu berjaya ditemui di beberapa lokasi termasuk di sebuah pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang dan polis percaya telah berjaya menyelesaikan enam kes curi kenderan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Polis kini katanya, masih memburu saki-baki ahli kumpulan berkenaan yang disyaki masih berada di dalam negara.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang