Siakap Keli
Kredit: Bernama

SKMM Sahkan Seorang Kakitangannya Positif Covid-19

Cyberjaya, 11 Mac – Seorang staf Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah disahkan positif COVID-19, lapor SKMM di laman Facebook mereka.

Kakitangan berkenaan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil. SKMM sebelum ini telah mengarahkan kakitangan tersebut dikuarantin 14 hari selepas suaminya didapati mempunyai kontak rapat dengan salah seorang pesakit COVID-19.

Pengesanan Kontak Terperinci juga telah dilaksanakan bagi mengenal pasti dan memaklumkan kepada semua kontak secara langsung dengan kakitangan berkenaan supaya mereka menjalani prosedur kuarantin dan saringan kesihatan hari ini.

Sebagai langkah segera bagi memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif di semua premis, SKMM telah menyediakan cecair pembasmi di setiap tingkat bangunan dan kawasan umum sejak 30 Januari lalu.

Badan itu turut mewajibkan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk utama premis mereka.

“Prosedur sanitasi dan pembersihan juga diteruskan di semua Pejabat Negeri SKMM di seluruh negara bermula 9 Mac 2020,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu, kakitangan agensi berkenaan turut dibenarkan bekerja dari rumah disamping menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Klang jika diperlukan kelak.

“Semua operasi di Ibu Pejabat, Bangunan Lama SKMM di Cyberjaya dan pejabat Negeri akan berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, Kaunter Aduan Pengguna akan ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko jangkitan melalui kontak,” tulis kenyataan tersebut.

Sumber: SKMM

Amira

Love yourself.