Siakap Keli

COVID-19: Jokowi Minum Jamu Kuatkan Imunisasi Badan

JAKARTA, 12 Mac (Bernama) — Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengakui yang beliau meminum jamu setiap hari sejak penularan virus COVID-19, yang beliau percaya akan dapat meningkatkan imunisasi badan, bagi mengelak dijangkiti virus itu.

Malah, tetamu yang melakukan kunjungan hormat kepadanya juga, tidak lagi disediakan minum teh, sebaliknya jamu yang hasil daripada campuran herba , antaranya serai, kunyit dan halia.

“Sekarang tamu-tamu saya pagi, siang dan malam saya beri minuman itu. Bukan teh, tapi saya ganti temulawak (sejenis halia), jahe (halia), sereh (serai), kunyit, yang dicampur (sebagai jamu),” katanya di Istana Presiden, seperti dipetik media tempatan.

Jokowi berkata beliau juga kini menambah kuantiti minuman jamu itu, dan meminumnya sebanyak tiga kali setiap hari.

“Saya kan tiap hari minum jamu (sebelum ini), saya minum hanya pagi saja. Sekarang kerana ada corona (COVID-19) saya minumnya pagi, siang (tengah hari), malam,” katanya.

Media Indonesia turut menyiarkan beberapa artikel yang memetik beberapa pakar perubatan di Indonesia, yang antaranya turut menyatakan belum terdapat bukti saintifik penggunaan jamu itu, dapat meningkatkan imunisasi badan daripada dijangkiti COVID-19.

Pada 2 Mac lepas, Indonesia negara berpenduduk lebih 270 juta orang itu, tersenarai negara dijangkiti COVID-19, dan setakat ini turut mencatatkan satu kematian ( pada 11 Mac).

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right