Siakap Keli
Gambar: Football Trible

Kelantan Tidak Cukup Masa Jalani Latihan

KOTA BHARU, 12 Mac (Bernama) — Pasukan The Red Warriors (TRW) Kelantan tidak mempunyai cukup masa untuk menjalani latihan sebagai persiapan untuk menentang Terengganu FC (TFC) II pada saingan Liga Premier di Kuala Terengganu, malam esok.

Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata ia berikutan jadual perlawanan yang padat, dan pasukan Kelantan hanya ada satu hari untuk melakukan persiapan.

“Hari Selasa lalu kami bertemu dengan Kelantan United (KUFC)…Rabu  kita rehat dan hari ini (Khamis) kami terpaksa bertolak ke Terengganu kepadatan masa ini menyebabkan kami tidak mempunyai ruang untuk menjalani latihan bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Saya percaya semua pasukan lain juga berdepan situasi sama, namun saya perlu tenang dan melihat dari sudut positif,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada pertemuan dengan pasukan ‘adik’ KUFC di Stadium Sultan Muhammad lV pasukan TRW mengerah sepenuh tenaga sebelum berjaya menewaskan pasukan bimbingan Zahasmi Ismail dengan 2-0.

Beliau berkata kesemua pemain perlu memanfaatkan masa yang ada untuk berehat sebelum berdepan dengan pasukan TFC ll yang memang diketahui umum liat untuk ditewaskan apatah lagi bila  bermain di tempat sendiri.

“Kami perlu bertolak ke Kuala Terengganu lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup bagi membolehkan  pemain bermain secara berkualiti.

Begitu juga dengan pemain muda, saya harap mereka bijak mencatur tenaga bagi mencipta keputusan yang menggembirakan peminat malam esok,” katanya.

Yusri juga turut berpendapat saingan Liga Premier musim ini  lebih mencabar berikutan setiap pasukan akan mendapat khidmat bekas pemain-pemain dari Liga Super yang mempunyai kualiti yang tinggi.

“Tidak ada jalan mudah dalam Liga Premier kerana  kebanyakan pasukan musim ini mendapatkan pemain yang berkualiti dari Liga Super bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Begitu juga saya harap pasukan tidak dibelenggu masalah kecederaan pemain bagi menghadapi jadual perlawanan yang padat,” katanya.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa