Berhubung dengan isu kes Covid-19 yang melibatkan pesakit daripada Brunei selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Menerusi satu kiriman daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Nor Hisham Abdullah berkongsi mengenai kes 131 yang turut menghadiri majlis tersebut.
Pada hari ini melalui survelan KKM, satu kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) telah dikesan dijangkiti COVID-19. Kes 131 disiasat dengan teliti iaitu seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 60 thn. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur selama 3 hari (28 Februari sehingga 1 Mac 2020).
Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 4 Mac 2020, sebelum kemudiannya mengalami sesak nafas pada 8 Mac 2020 dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama. Beliau kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac 2020. Ujian pengesanan COVID-19 yang diambil bagi kes ini telah disahkan positif pada 10 Mac 2020. Beliau sudah diasingkan dalam ward isolasi dan sedang menerima rawatan.
KKM menasihatkan mereka yang telah menghadiri “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Feb hingga 1 Mac 2020, segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19. Sila hubungi CPRC hotline atau Pejabat Kesihatan Daerah.
Sumber: KP Noor Hisham Abdullah