Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Mayat Terapung Ditemukan Di Sungai Perak

PARIT, 12 Mac (Bernama) — Satu mayat lelaki dipercayai warga Indonesia ditemukan terapung di tengah Sungai Perak berhampiran Pam Pasir 1, Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata mayat yang dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 7.50 malam itu dikenali sebagai Hosnan berasal dari Tanjung Perak, Indonesia berdasarkan salinan dokumen pengenalan diri di dalam dompet lelaki itu.

“Semasa ditemui lelaki yang dianggar berusia lingkungan 20-an itu memakai kemeja-T berwarna coklat kekuningan ‘Atlanta Monster’ serta jean pendek berwarna biru dan berjaya dibawa naik ke darat pukul 10.40 malam tadi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seri Iskandar.

“Pemeriksaan ke atas mayat oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal pada bahagian luar tubuh akibat perlakuan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Barudin berkata lelaki itu dipercayai meninggal dunia tiga hari lepas dan pihaknya akan mengambil cap jari untuk pemeriksaan lanjut bagi pengesahan identiti.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil bedah siasat di Hospital Changkat Melintang pagi ini diperoleh.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story